Isnin, 20 November 2017

Pulau Redang khazanah Taman Laut Malaysia.


Berbelas tahun saya tak datang ke pulau yang kaya dengan karang ini. Dahulu saya pernah beberapa kali berkunjung ke sini dengan tujuan untuk snorkling dan berehat. Pada July 2017, teman yang telah lama tidak berjumpa mengajak saya berehat ke pulau ini. Kami merancang dan mengambil pakage di Reef Resort untuk 3 hari 2 malam.


Ada 2 jety untuk ke Pulau Redang. Pertama dari Merang iaitu di Jety Kampung Penarik yang mengambil masa sekitar 45 minit hingga 60 minit untuk sampai. Kedua, dari Kuala Terangganu iaitu Jety Shahbandar yang mengambil masa sekitar 90 minit. Kami 4 orang berkumpul di Kuala Terengganu dan menaiki ferry dari jety Shahbandar. Kami menaiki ferry besar untuk ke Pulau Redang dan untuk sampai ke pantai, kami perlu berpindah ke bot yang kecil. Sampai di pantai, setiap wakil resort telah menunggu tetamu dengan kenderaan pantai untuk membawa tamu ke resort masing-masing.



 

Tinggal di bilik menghadap laut sememangnya amat mententeramkan. Melihat air laut jernih dan pasir putih yang halus di Pasir Panjang dapat merehatkan minda. Pulau Redang terkenal dengan "spot snorkling" dan selam laut dalam atau diving. Hari pertama kami di sana, setelah berehat dan makan tengahari, kami menyewa peralatan snorkling dan bersedia untuk aktivity snorkling. Menaiki bot sekitar 30 minit, kami pun sampai di salah satu spot snorkling di Pulau Redang.



Selesai snorkling kami pulang ke resort dan melakukan aktivity bebas. Petang itu saya bersiar-siar di pantai belakang resort. Di sebelah belakang ini agak sunyi dan damai.



Terdapat deretan resort di Pasir Panjang Pulau Redang. Terdapat juga gerai-gerai kecil yang menjual air kelapa dan keropok lekor. Food Court pula terletak di hujung pantai. Waktu malam aktivity di pantai Pasir Panjang tidak sunyi, terdapat tempat minum dan hiburan, berbeza dengan suasana semasa saya ke sini beberapa kali berbelas tahun dahulu.


Hari kedua setelah sarapan kami dibawa snorkling ke Taman Laut Marine Park Pulau Redang. Pulau Redang merupakan salah satu dari sembilan pulau yang membentuk Taman Laut Kepulauan Redang. Di taman laut ini suasananya sama seperti dahulu. Pasir halus putih dan karang indah tetap mengagumkan saya semasa snorkling di sana.






Selesai snorkling kami pulang semula ke resort untuk makan tengahari. Selesai makan kami berehat dan di sebelah petangnya kami dibawa ke satu lagi spot snorkling di Pulau Redang. Selesai sesi snorkling petang hari kedua, kami kembali ke resort untuk minum petang. Petang itu teman saya ingin mencuba selam "Discover Scuba". Sememangnya Pulau Redang terkenal dengan spot selam laut dalam. Terdapat berpuluh spot diving di sekitar Pulau Redang yang terletak di Laut Cina Selatan ini.




Kepada pelancong yang pertama kali mencuba dan tidak pernah melakukan aktivity selam, mereka akan diberi sedikit taklimat dan tunjuk ajar sebelum melakukan aktivity ini. Kepada pelancong yang ingin mengambil lecen diving, mereka juga boleh mengambilnya di sini.




Jika pengunjung ingin resort yang menyediakan kemudahan dan keselesaan, mereka boleh menginap di Laguna Redang Island Resort. Terdapat kolam renang yang besar dan segala kemudahan dan hiburan di resort ini. Selain Laguna Redang Island Resort terdapat banyak lagi resort  yang menyediakan penginapan yang selesa untuk pelancong ke pulau ini.


Pagi hari ketiga, selesai sarapan kami bersiap sedia untuk pulang. Ferry penumpang sesi pagi sampai di pulau ini sekitar jam 10:30 pagi. Pelancong yang ingin ke Pulau Redang mesti menyemak dahulu tarikh bercuti ke sana kerana operasi ferry dihentikan setiap hujung tahun kerana ombak besar dan pulau ditutup kerana musim monsun.

Nota:
1- Pulau Redang di tutup setiap hujung tahun iaitu dari bulan November hingga February.
2- Masa sesuai berkunjung ke Pulau Redang ini adalah dari bulan March hingga October.
3- Terdapat lapangan terbang kecil di Pulau Redang.


Tiada ulasan: