Isnin, 16 Oktober 2017

Gunung Jade (Yushan) via Trailhead Tataka Saddle



      Cabaran pertama untuk mendaki Jade Mount atau Yushan atau Gunung Yu ini adalah mendapatkan permit pendakian dan slot untuk bermalam di Pinyun Lodge. Dan tanggungjawap ini kami serahkan sepenuhnya pada Eryn. Memandangkan pihak Taman Negara Yushan lebih mengutamakan pendaki tempatan, khabar gembira tentang kejayaan mendapatkan permit dan slot bermalam di Pinyun Lodge hanya dimaklumkan sebulan sebelum berangkat walaupun ticket ke Taiwan sudah dibeli hampir setahun. Malah kami juga mendapat slot untuk bermalam di Yuanfong Cabin untuk malam kedua. Kini perjalanan menawan puncak tertinggi di Taiwan menunggu hari sahaja. Pada 20 September 2017, kami sampai di Taiwan sekitar jam 3:00 petang. Setelah menyewa sebuah van untuk kami enam orang, perjalanan diteruskan ke Wangshiang, pekan kecil di kaki Gunung Jade. Dalam perjalanan ke sana kami singgah makan, membeli sedikit keperluan mendaki seperti gas memasak dan air mineral. Kami sampai di Wangshiang tengah malam dan tidur di homestay di kampung itu. Keesokan paginya selepas sarapan, kami meneruskan perjalanan ke Dongpu yang mengambil masa lebih sejam menaiki van. Sampai di Dongpu, kami terus mendaftar dan membuat permit pendakian di Paiyun Mountaineering Service Center.


       Setelah semua urusan dan syarat pendakian selesai kami menaiki van yang disediakan oleh pihak taman negara ke "Trailhead Paiyun" iaitu Tataka Saddle dan pendakian sebenar ke puncak tertinggi di Taiwan ini pun bermula. Seperti biasa, bila saya mendaki di Taiwan bersama Apip, dia akan menjadi ketua dan guide secara tidak langsung. Setelah menaiki van sekitar 10 minit, kami sampai di Tataka Saddle, mengambil masa untuk berehat dan merakam gambar sebentar, kami akhirnya mengorak langkah menuju ke Paiyun Lodge pada jam 9:25 pagi.



      Jarak Tataka Saddle ke Paiyun Lodge adalah 8.5 kilometer dan mengambil masa sekitar  4 jam secara normal. Saya yang jarang memikul beban ketika mendaki mengambil masa yang agak lama untuk sampai di Paiyun Lodge ini. Di permulaan perjalanan, jalur agak landai sehingga sampai di Monroe Pavilion sejauh 1.7 kilometer. Trek redup melalui hutan dan pokok-pokok besar memayungi kami.




      Setelah berehat sebentar di Monroe Pavilion, kami meneruskan pendakian ke Ecotoilet dan seterusnya ke Ecotoilet White-Wood Forest observation deck. Dalam perjalanan dari Ecotoilet ke Ecotoilet White-Wood Forest, kami melintasi simpang ke puncak Gunung Jade Front Peak (3239 mdpl). Kami bercadang jika mempunyai cukup masa mungkin akan ke puncak tersebut dalam perjalanan pulang nanti.




       Saya banyak berehat di sepanjang pendakian ini. Pemandangan dan cuaca yang baik tambahan pula masa jangkaan untuk tiba di Paiyun Lodge yang masih awal menyebabkan saya selesa mendaki mengikut kemampuan sendiri sambil menikmati trek yang cantik di pergunungan Jade ini.



     Kami berselisih dengan ramai pendaki tempatan yang dalam perjalanan pulang. Saya dan seorang teman yang sering mendaki bersama berjalan secara santai. Kami banyak merakam gambar dan sama berkongsi menyaksikan pemandangan indah di pergunungan ini.



        Sebenarnya kami pernah cuba mendaki gunung ini pada June 2013. Pada masa itu, kegagalan 3 dari 12 orang dalam kumpulan kami untuk mendapatkan permit mendaki gunung ini memaksa kami menukar rancangan kepada pendakian ke Gunung Qilai. Tahun ini kami mencuba lagi dengan penyertaan separuh dari bilangan peserta untuk memastikan peluang besar mendapatkan permit pendakian.




        Semakin hampir ke Pinyun Lodge, trek semakin sukar kerana banyak bahagian jalur yang menaik dan trek agak menegak. Akhirnya saya dan seorang teman pendaki sampai di Paiyun Lodge pada jam 4:55 petang. Paiyun Lodge boleh memuatkan sekitar 100 orang pendaki dalam satu masa di mana bahagian bawah merupakan bahagian ruang makan, dapur dan tandas. Manakala di bahagian atas pula menempatkan bilik-bilik tidur pendaki yang dibina katil 2 tingkat yang beralas selesa.


      Walaupun kami mendaki di musim panas, kesejukan di gunung ini tetap mencengkam tulang. Dengan ketinggian 3402 mdpl, Paiyun Lodge sememangnya memberi keselesaan kepada pendaki, patutlah ia sentiasa penuh dan agak sukar untuk ditempah. Kami tidur selesa di sini. Kebanyakan pendaki tempatan memulakan pendakian ke puncak seawal jam 2:00 hingga 2:30 pagi, tetapi kami memulakan pendakian pada jam 6:00 pagi setelah sarapan. Kami membawa kesemua barang kerana malam kedua ini kami akan bermalam di Yuanfong Cabin pula. Setelah trekking selama sejam, kami sampai di simpang ke Yuanfong Cabin dan meninggalkan barang di sini sementara kami ke puncak Jade Main Peak.




    Trek dari Pinyun Lodge ke puncak dibina secara "zigzag". Batu-batunya agak longgar dan pendaki digalakkan memakai helmit untuk keselamatan. Di setengah-setengah bahagian, bumbung dibina untuk menghalang dari batu jatuh di atas pendaki bagi mengelak kemalangan dan sesuatu yang tidak dijangka.



      Mendaki di trek tepi tebing yang curam dengan batu longgar sedikit sebanyak menerbitkan rasa gayat. Walaupun trek dibina dan dijaga dengan baik, pendaki harus hati-hati semasa mendaki atau berhenti untuk berehat. Di setengah-setengah bahagian jalur, rantai besi dipasang sebagai langkah keselamatan pendaki. Berbaki 0.2 kilometer ke puncak Jade Main Peak, kami sampai di simpang ke Jade North Peak (3858 mdpl). Mengikut jadual yang disusun Apip, kami akan cuba mendaki 2 puncak ini iaitu Jade Main dan North Peak.



       Saya sampai di puncak Gunung Jade Main Peak pada jam 9:15 pagi. Cuaca cerah menyambut ketibaan kami meleraikan rasa penat mendaki ke sini. Seperti biasa, aktivity di puncak dipenuhi dengan gelagat merakam gambar kenangan dan berehat sambil menyaksikan pesona pemandangan dari ketinggian 3952 mdpl ini. Sesekali saya suka melakukan aktivity yang amat melelahkan supaya saya rindu untuk pulang ke rumah. Namun akibat berada di puncak yang tinggi dengan pemandangan yang indah pasti menjadi satu ketagihan sehingga saya sanggup meninggalkan keselesaan dan keasyikan berehat di tilam yang empuk.






       Kami mula bergerak turun pada jam 10:15 pagi setelah sejam berada di puncak. Semasa kami turun terdapat beberapa pendaki tempatan yang baru sampai di puncak. Kami turun sehingga sampai simpang ke Gunung Jade North Peak. Kerana keletihan, 4 orang dari kami termasuk saya mengambil keputusan untuk terus ke Yuanfong Cabin manakala Apip dan Eryn memilih untuk meneruskan pendakian ke puncak Gunung Jade North Peak seperti jadual asal.



       Kami sampai di simpang ke Yuanfong Cabin di mana beg kami ditinggalkan pada jam 11:30 pagi. Kami berehat di sini sekitar 30 minit memandangkan waktu masih awal dan Yuanfong Cabin cuma terletak 1.5 kilometer dari simpang ini. Jam 12:05 tengahari kami mula bergerak ke Yuanfong Cabin. Trek ke sana terbuka dan meniti tepi tebing dengan batu-batu tersusun namun agak longgar kedudukannya. Saya dan teman berjalan agak santai namun penuh hati-hati. Di pertengahan jalan kami dilanda hujan dan perjalanan terpaksa diteruskan kerana tiada tempat untuk berteduh. Kami sampai di Yuanfong Cabin pada jam 13:30 petang.


       Yuanfong Cabin  merupakan cabin yang dibina untuk pendaki bermalam jika mendaki Gunung Jade South Peak (3844 mdpl), Gunung Lu (2981 mdpl) ataupun Gunung Xiaonan (3744 mdpl). Ia cuma boleh memuatkan seramai 18 orang pendaki pada satu masa dan kedudukan pendaki untuk tidur mengikut nombor yang tertulis di dinding cabin. Terdapat sumber bakalan air paip dari tadahan air hujan namun tiada tandas disediakan di cabin ini. Sesuatu yang menarik di Yuanfong cabin adalah ia memberi peluang pendaki menyaksikan penorama indah di kelilingnya terutama sekali waktu matahari terbit dan terbenam. Saya juga tidak melepaskan peluang menyaksikan kuasa cahaya dari langit itu dari 2 masa yang berbeza.




       Setelah Apip dan Eryn sampai di Yuanfong Cabin, kami yang ternanti-nanti ketibaan mereka, merasa lega dan mula masak untuk makan malam kerana kami cuma makan mi segera sahaja setibanya awal petang tadi. Setelah makan malam kami cuma berbual-bual di dalam cabin kerana kemalasan untuk keluar dari cabin dengan alasan kesejukan. Malam itu kami tidur selesa dan awal agar tidak mengganggu pendaki lain yang berkongsi cabin kerana mereka akan bangun seawal pagi untuk meneruskan pendakian ke puncak pilihan mereka. Keesokkan paginya kami memulakan perjalanan pulang sekitar jam 07:10 pagi. Sebelum pulang kami merakam gambar di sekitar cabin memandangkan cuaca baik dan cerah. Di permulaan trek pulang, kami terpaksa mendaki semula kerana Yuanfong Cabin terletak di lurah gunung.



        Walaupun kami pergi dan pulang melalui jalur yang sama, namun tidak timbul perasaan jemu untuk merakam gambar setiap kali melihat pemandangan indah di Taman Negara Yushan yang merupakan taman negara terbesar dan tertinggi di Taiwan ini. Mereka menjaga trek ini dengan baik dan rapi. Terdapat banyak pelantar kayu dibina untuk memudahkan pendaki menyeberangi jurang kecil. Hampir keseluruhan trek ke puncak Gunung Jade ini dibina di sisi tebing tinggi yang curam.
       



 
      Sejam berjalan kami sampai di simpang ke Paiyun Lodge, tanpa berehat kami meneruskan perjalanan dan sampai di Paiyun Lodge pada jam pada jam 08:30 pagi. Kami berehat sebentar di sini dan meneruskan perjalanan turun ke Tataka Saddle pada jam 08:50 pagi. Cuaca cerah pagi itu dan semangat untuk pulang memudahkan perjalanan kami. Berjalan sambil merakam gambar mengakibatkan kami sampai di pondok rehat (White-Wood Forest obcervation deck) pada jam 10:20 pagi. Kami berehat dan masak mi segera di pondok kayu yang berberanda separa bulat ini.
       






    Selesai makan kami meneruskan perjalanan pulang pada jam 10:50 pagi dan sampai semula di Trailhead Tataka Saddle pada jam 13:10 petang. Kami berehat sebentar di sini dan meneruskan perjalanan ke parking kenderaan awam di Tataka Visitor Center dengan menaiki van taman negara yang sedia menunggu.


Monroe Pavilion



       Dengan selesainya pendakian Gunung Jade Main Peak ini, maka lengkaplah "Asia Trilogy" iaitu gabungan 3 gunung Puncak Timur. Namun gelaran "Asia Trilogy" yang tidak diketahuai dari mana asalnya itu saya perolehi secara kebetulan setelah membaca tentang Gunung Yushan ini di internet. Kebetulan saya juga sudah mendaki Gunung Fuji dan Gunung Kinabalu yang juga merupakan gabungan yang membentuk "Asia Trilogy" ini. Terimakasih  pada Eryn dan Apip yang menyusun baik trip ini sehingga berjaya. Dan terimakasih paling besar pada Allah yang mencipta dan memberi peluang kepada kami melihat pasak bumi yang indah dan anugerah cuaca yang baik.



Itinerary:
Day 1
07:00 - Bertolak dari Wangshiang ke Dongpu.
08:30 - Sampai Dongpu, daftar pendakian di pejabat Taman Negara Yushan.
09:00 - Menuju Trailhead Tataka Saddle menaiki van.
09:10 - Sampai Tataka Saddle.
09:25 - Mula trekking ke Pinyun Lodge.
16:55 - Sampai Pinyun Lodge, rehat dan bermalam.
Day 2
06:00 - Mula mendaki puncak Gunung Jade Main Peak.
09:15 - Sampai puncak Jade Main Peak 3952 mdpl.
10:15 - Mula turun menuju Yuanfong Cabin.
13:30 - Sampai Yuanfong Cabin.
Day 3
07:10 - Mula trekking pulang ke Trailhead Tataka Saddle.
13:10 - Sampai Trailhead Tataka Saddle.
14:00 - Sampai di parking awam Tataka Visitor Center dan meneruskan perjalanan ke Sun Moon Lake.

Nota:
1 - Rakyat Malaysia tidak memerlukan visa untuk ke Taiwan.
2 - Permit diperlukan untuk mendaki Gunung Yushan atau Mt. Jade.
3 - Menempah awal tempat untuk bermalam di Pinyun Lodge (4 bulan hingga 35 hari terakhir dari tarikh pendakian bagi pendaki negara asing) dan peserta yang berjaya membuat tempahan sahaja dibenarkan mendaki dan bermalam di sini.
4 - Guide dan pakage contact: Apip tel no +6 0133508508.


Tiada ulasan: