Jumaat, 15 September 2017

Gunung Prau via jalur Patak Banteng


      Setelah turun dari mendaki Gunung Sumbing dan Gunung Sindoro, kami berehat sebentar di rumah Benny. Hati berbelah-bahagi untuk singgah mendaki ke Gunung Prau atau tidak dalam perjalanan menuju ke Gunung Slamet untuk trip "triple s" kerana keletihan. Ketika berehat kami mendapat panggilan talipon dari seorang sahabat di Base Camp Gunung Sumbing yang mengatakan ada 2 orang pendaki lain yang ingin mencari teman untuk ke Base Camp Gunung Prau. Tanpa banyak berfikir, kami bersetuju untuk bergabong dan berkongsi kenderaan ke sana.


       Setelah bersiap sedia, kami menaiki van menuju ke Dieng pada jam 5:15 petang dan sampai di sana jam 6:30 petang. Dieng merupakan bandar kecil di kawasan dataran tinggi yang bersuhu dingin. Pemandu van menawarkan kami bermalam di rumah temannya yang terletak berhampiran Base Camp Gunung Prau jalur Desa Patak Banteng. Banyak rumah di Desa Patak Banteng menawarkan tempat penginapan untuk para pendaki. Bayaran bermalam bergantung kepada tuan rumah sehingga ada yang mengenakan bayaran seikhlas hati sahaja. Kami bermalam di rumah seorang pendaki di sana. Pemilik rumah menyarankan saya tidur di bilik untuk pendaki perempuan. Kami membayar permit mendaki di Pos Pendakian jalur Desa Patak Banteng yang terletak sekitar 100 meter dari rumah penginapan sebelum tidur kerana kami akan mula mendaki seawal 4:00 pagi.



      Malam itu kami tidur awal dan bangun pada jam 3:30 pagi. Setelah bersedia, kami memulakan pendakian ke puncak Gunung Prau pada jam 4:00 pagi. Kami mendaki anak tangga di Desa Patak Banteng sehingga melalui kawasan kebun penduduk desa. Trek agak menegak hampir 45 darjah dengan binaan tangga dari tanah merah, jelas dan terdapat tanda penunjuk arah. Dari Desa Patak Banteng ke Pos 1, kami melalui kawasan kebun penduduk desa dan kami sampai di Pos 1 pada jam 4:30 pagi. Trek terus kekal menegak menyusuri kawasan kebun sehingga ke Pos 2 dan kami sampai di sana pada jam 5:00 pagi. Sepanjang trek mendaki dari Desa Patak Banteng terdapat beberapa gerai jualan.


       Kami meneruskan pendakian ke Pos 3 dan sampai di sana 30 minit kemudian. Trekking ke Pos 3, kami melalui jalur tanah merah yang agak licin dan kami sampai di Pos 3 pada jam 5:30 pagi. Sepanjang mendaki ke Pos 3 kami melihat Desa Patak Banteng yang ditutupi awan. Kami sampai di Pelawangan pada jam 6:00 pagi. Meneruskan trekking sekitar 5 minit kami sampai di Sunrise Camp.




      Ada kawan memberitahu saya, Sunrise Camp di Gunung Prau umpama pasar. Pada hari-hari tertentu, jika mendaki Gunung Prau, terdapat ramai pendaki di Sunrise Camp ini sehingga ia kelihatan seperti kawasan pasar. Sunrise Camp merupakan tapak khemah feveret pendaki kerana mempamerkan pemandangan indah semasa matahari terbit. Dari Sunrise Camp pendaki boleh melihat Gunung Sumbing dan Gunung Sindoro. Walaupun agak kecil, pendaki juga berpeluang melihat puncak Gunung Merbabu dan Gunung Merapi yang timbul di atas awan.



       Kami berehat dan merakam gambar sekitar 30 minit di sini. Rancangan awal, kami juga bercadang berkhemah di Sunrise Camp ini, namun kerana keletihan, kami menukar rancana dan bermalam di Desa Patak Banteng. Kami kemudian berjalan perlahan menuju puncak Gunung Prau pada jam 6:30 pagi. Tapak khemah di Sunrise Camp sangat luas dan agak rata. Kami melintasi kawasan khemah dan menyusuri jalur Bukit Talitubis. Di sini saya sedikit tergamam dan terpegun melihat lautan bunga Daisy yang sedang berkembang menutupi Bukit Talitubis. Warna bunga Daisy merah dan putih itu sungguh indah di mata dan hati saya. Kami merakam banyak gambar di sini.







      Kami sampai di puncak Gunung Prau 2565 mdpl pada jam 7:30 pagi. Dari sini kami melihat Telaga Warna dan bandar Dieng yang popular dengan jolokan "negeri di atas awan". Kami berehat di puncak ini sekitar 30 minit. Puncak Gunung Prau agak sunyi kerana pendaki lebih gemar menghabiskan masa di Sunrise Camp. Terdapat beberapa khemah yang didirikan di sisi jalur di bawah puncak. Kami melihat beberapa orang pendaki berjalan turun melalui jalur bertentangan kami datang. Setelah bertanya serba sedikit melalui jalur tersebut, kami mengambil keputusan untuk turun melalui jalur yang dilalui pendaki yang kami sapa.





      Pada jam 8:00 pagi kami bergerak turun dari puncak menghala ke bukit yang terdapat tower pencawang. Sampai di bawah, terdapat simpang menghala tower pencawang dan kami memilih simpang yang satu lagi menuju ke bawah iaitu jalur Dieng. Menuruni jalur Dieng ini, trek agak landai. Sepuluh minit trekking turun, kami sampai di Pos 3.


       Selain jalur Patak Banteng, Gunung Prau juga boleh didaki dari jalur Kalilembu, jalur Dieng Wetan, jalur Campurejo, jalur Dieng Kulon dan jalur Wates. Kami meneruskan perjalanan turun menuju  Pos 2. Trek tanah merah agak landai dan kami bergerak santai. Kami kemudian memasuki kawasan hutan berpohon besar dan melalui kawasan Akar Cinta.





      Kami sampai di Pos 2 atau Semendung pada jam 8:50 pagi. Jalur Dieng agak lantai tetapi agak jauh jika dibandingkan dengan jalur Patak Banteng yang menjadi pilihan para pendaki. Kebanyakkan pendaki lebih gemar memilih mendaki dari jalur Patak Banteng. Ini mungkin kerana jika mendaki dari jalur Patak Banteng, pendaki akan sampai di Sunrise Camp dahulu yang menjadi tujuan pendaki ke Gunung Prau, manakala jika mendaki dari jalur Dieng, pendaki akan berjumpa Puncak Prau dahulu barulah Sunrise Camp.



       Kami sampai di Pos 1 sekitar jam 9:10 pagi. Terdapat beberapa kumpulan pendaki berselisih dengan kami dan kami bertegur sapa seperti adat orang mendaki. Kami meneruskan perjalanan turun menuju pintu masuk jalur Dieng. Dari Pos 1 kami melihat kebun penduduk desa terbentang luas di bawah.





      Kami melintasi kawasan kebun dan sampai di pintu masuk jalur Dieng pada jam 9:30 pagi. Terus menyusuri kawasan perkebunan penduduk desa, kami menuju ke bandar Dieng dan sampai di sana pada jam 10:00 pagi. Kami bergambar dan makan di bandar ini sebelum menaiki bas pulang ke Base Camp Desa Patak Banteng.




        Gunung Prau terletak di Dataran Tinggi Dieng dan merupakan gunung yang agak santai untuk didaki. Masa diperlukan antara 2-4 jam jika mendaki dari jalur Patak Banteng dan pemandangan di Sunrise Camp jarang mengecewakan pendaki. Saya bercadang ke sini lagi jika ada rezeki, mungkin berehat di Dieng "negeri di atas awan' ini atau pasti sahaja mengulangi mendaki gunung indah lagi santai ini. Terima kasih Allah.


Itinerary:
Dari jalur Patak Banteng:
04:00- Mula mendaki dari jalur Desa Patak Banteng.
04:30- Sampai Pos 1
05:00- Sampai Pos 2
05:30- Sampai Pos 3
06:00- Sampai Pelawangan
06:05- Sampai Sunrise Camp
06:30- Meneruskan trekking ke puncak Gunung Prau
07:30- Sampai puncak Gunung Prau 2565 mdpl
08:00- Mula turun melalui alur Dieng
08:10- Sampai Pos 3 jalur Dieng
08:50- Sampai Pos 2
09:10- Sampai Pos 1
09:30- Sampai pintu masuk jalur Dieng.
10:00- Sampai Bandar Dieng.

Nota:
1- Permit pendakian Gunung Prau adalah Rp 10 ribu.
2- Terdapat banyak hotel dan rumah tumpangan di Bandar Dieng.
3- Tambang van dari Base Camp Gunung Sumbing ke Base Camp Gunung Prau Rp 40.
4- Contact Base Camp Patak Banteng +6285326903444 / +6285602170444.

Tiada ulasan: