Selasa, 30 Mei 2017

Changping Valley dan Rilong yang indah dan mempesonakan

     
      Ada tiga jalan menuju ke Taman Negara Siguniang dari Chengdu dan salah satu daripadanya adalah dari Rilong. Saya dan 4 rakan ke Gunung Siguniang ini pada akhir April 2017 melalui Rilong. Apa yang menariknya tentang Rilong selain menjadi pintu masuk ke Taman Negara Gunung Siguniang? Tentulah 3 lembah yang terdapat di sekitar bandar kecil ini. Changping Valley, Haizi Valley dan Shuangqiao Valley yang menjamukan pemandangan indah kepada pengunjung. Saya dan 4 orang teman pendaki berpeluang ke Changping Valley ini semasa kami membuat xpdc menawan puncak Da Feng di Gunung Siguniang.


     Rilong bandar kecil sekitar 220 kilometer di barat Chengdu dengan ketinggian 3200 mdpl dan bercuaca dingin. Di Rilong kami menginap di Riyue Hostel. Hari kedua di Rilong, kami ke Changping Valley. Untuk ke lembah ini kami, dari Riyue Hostel kami berjalan kaki ke Tourist Centre sekitar 1 kilometer di Changping Village di mana kami membeli ticket bas dan tiket masuk ke Lembah Changping ini. Selesai membeli ticket kami beratur menunggu giliran menaiki bas. Jika kita ke sini pada hujung minggu atau cuti umum, stesen bas akan dipenuhi dengan pengunjung yang ingin ke Changping Valley ini, namun kita tidak menunggu lama kerana bas mengambil penumpang tanpa mengikut masa dan kerap. Menaiki bas tanpa henti menuju ke pintu masuk ke Changping Valley mengambil masa sekitar 20 hingga 30 minit. Sampai di pintu masuk Changping Valley, semua penumpang turun dan memulakan perjalanan menjelajah Changping Valley samada dengan berjalan kaki atau menunggang kuda.




       Dari pintu masuk Changping Valley, kami berjalan sekitar 15 minit dan sampai di sebuah tokong. Terdapat ramai pemilik kuda menunggu pelangan di sini. Kami terus berjalan meniti pelantar kayu yang dibina di Changping Valley ini. Pemandangan berlatar belakangkan banjaran gunung yang di selimuti salji putih amat cantik. Pelantar kayu pula dibina dan dijaga rapi bagi memudahkan pengunjung berjalan.



       Sepanjang berjalan di Changping Valley ini kami melihat pokok-pokok yang tidak berdaun kerana Rilong baru habis musim salji. Namun ranting dari pokok-pokok ini amat cantik terutama yang dahannya melentur seolah-olah memayungi pelantar kayu.






     Di Changping Valley ini kami berjalan sekitar 15 kilometer pergi pulang meniti pelantar kayu. Tujuan asal kami ke sini adalah untuk acclamatize sebagai persediaan mendaki puncak Da Feng keesokan harinya. Menyusuri pelantar kayu sambil melihat dan merakam gambar tidak terasa jauh dan penat. Kami melalui dan menyeberangi beberapa kali sungai yang jernih dan cantik.




     Terdapat ramai pengunjug di Changping Valley ini. Beriadah bersama keluarga dan teman-teman. Ada antaranya bertegur sapa dengan kami dan merakam gambar. Antara mereka ada yang memulakan pendakian ke puncak Er Feng dari Changping Valley ini.


      Kami kemudiannya sampai di papan tanda ke air terjun Chongchongjioa. Terdapat sebuah gerai menjual minuman panas di sini. Kami meneruskan perjalanan meniti pelantar kayu menuju ke air terjun ini.



      Air terjun Chongchongjioa adalah antara tarikan di Changping Valley ini. Puncak air terjun ini berada di ketinggian sekitar 3700 mdpl dan tinggi air terjun ini pula adalah 200 meter. Namun pelantar kayu hanya dibina sekitar 3500 mdpl.




     Kami berehat agak lama di air terjun ini. Selain menjamukan pemandangan indah sepanjang perjalanan meniti pelantar kayu yang baik terjaga ini, Changping Valley juga menyediakan kemudahan asas seperti tandas awam dan terdapat beberapa kedai menjual minuman panas. Namun pengunjung disarankan membawa makanan ringan dan minum sendiri terutama yang beragama islam kerana pilihan warung di sini agak terhad dan tiada lambang halal. Kemudian kami meneruskan perjalanan menyusuri pelantar kayu sehingga sampai di kawasan Withered Beach Tree.








     Withered Beach Tree atau "pantai pokok mati" ini juga merupakan salah satu dari tarikan di Changping Valley ini. Pokok-pokok Cypress dan Fir ini mati kerana ditenggelami salji dan air. Withered Beach Tree ini berada di ketinggian 3470 mdpl. Di sini terdapat beberapa gerai menjual minuman panas dan makanan.






       Kami berjalan hingga ke kawasan agak hujung di Withered Beach Tree. Memandangkan kami telah melakukan sedikit latihan sambil menyaksikan panorama indah di Changping Valley, kami mengambil keputusan untuk berpatah balik kerana bimbang jika kami ketinggalan bas pulang ke Rilong Village. Kami sampai semula ke tokong sekitar jam 3:30 petang. Setelah berehat seketika, kami meneruskan perjalanan ke pintu masuk Changping Valley dan menaiki bas pulang ke Rilong pada pukul 4:15 petang. Perjalanan turun menaiki bas cuma mengambil masa kurang dari 10 minit.



       Berat hati meninggalkan lembah yang indah ini. Jika berpeluang ke Rilong lagi, saya bercadang ke Lembah Shuangqiao pula. Rilong juga terkenal sebagai tempat membeli herba dan cendawan kering. Kedai di bandar Rilong banyak menjual herba dan cendawan kering dengan harga berpatutan.






      Dalam perjalanan pulang dari Rilong ke Chengdu setelah selesai xpdc menawan puncak Da Feng, kami singgah di satu perhentian beberapa kilometer dari bandar Rilong. Diperhentian ini juga terdapat peniaga yang menjual herba dan cendawan kering untuk pelawat yang tidak sempat membeli di bandar Rilong. Di sini antara hentian terakhir sebelum kita meninggalkan bandar Rilong dan dari sini kita berpeluang melihat Gunung Siguniang dengan jelas untuk kali akhir sebelum berangkat meninggalkan Rilong.





     Datang lagi ke Rilong memang menjadi hasrat saya di masa akan datang jika ada rezeki. Bandar kecil seakan tibet ini agak unik dan menarik pada saya. Terima kasih ALLAH.

Nota:
1- Rakyat Malaysia memerlukan visa untuk berkunjung ke negara China.
2- Bas ke Rilong boleh diambil di Xinnanmen Station di Chengdu atau cara mudah adalah menyewa kenderaan ke sini.
3- Tambang bas 2 hala dan tiket ke Changping Valley adalah 90 yuan seorang dewasa.


Tiada ulasan: