Khamis, 9 Februari 2017

Gunung Pinatubo

       Ketinggian puncaknya adalah 1745 mdpl, namun setelah meletus pada June 1991, ketinggianya menyusut kepada 1485 mdpl. Letusan kedua hebat di dunia pada abad ke20 ini meruntuhkan sama sekali puncaknya, memusnahkan kawasan sekitar dengan lahar, asap dan debu, namun telah menghadiahkan sebuah tasik indah dari letusan yang mengorbankan ratusan jiwa di Pulau Luzon.


        Gunung Pinatubo terletak sekitar 150 kilometer di utara Manila, di sempadan 3 daerah iaitu Tarlac, Pampanga dan Zambales. Gunung Pinatubo merupakan gunung berapi aktif namun selamat untuk dilawati. Tiada kenderaan awam untuk ke Base Camp gunung ini tetapi terdapat banyak Tour Agency yang mengendalikan pakage untuk ke sini. Masa sesuai untuk ke gunung ini adalah di musim panas iaitu bermula pertengahan bulan October hingga pertengahan bulan June.


      Saya bersama 4 orang teman pendaki ke sini pada January 2017 sekembalinya dari mendaki Gunung Pulag. Kami mengambil "open trip pakage" dari Manila. Kami berkumpul di Ortigas Center Manila seawal jam 2:00 pagi. Dari sini kami bertolak ke Base Camp di Botolan Zambales menaiki van. Perjalanan mengambil masa 3 jam tanpa henti. Kami sampai di Botolan Zambales sekitar jam 6:00 pagi. Di Base Camp ini kami mendengar sebentar taklimat dari tour agency, membahagi kumpulan dan meneruskan perjalanan ke Gunung Pinatubo menaiki pancuan empat roda 4x4. Selesai semua urusan kami memulakan perjalanan sekitar jam 06:45 pagi dan dari sini perjalanan ke Gunung Pinatubo yang sebenar bermula.



      Jarak dari Base Camp Botolan Zambales ke kawah Gunung Pinatubo sekitar 28 kilometer. Perjalanan menaiki 4x4 ini mengambil masa sekitar 1 jam 30 minit. Di awal perjalanan kami membelah kawasan padang pasir yang berdebu.




        Setelah meneruskan perjalanan sekitar 50 minit, kami sampai di satu kawasan yang dipenuhi air. Ia kelihatan seperti sebuah tasik yang luas namun air yang mengalir kelihatan seperti sungai. 4x4 bergilir-gilir menyeberangi kawasan berair ini dan sebuah lori sedia menunggu untuk membantu 4x4 yang gagal melepasi kawasan ini. Untuk melalui kawasan ini ramai pembantu orang tempatan diupah untuk melancarkan perjalanan.





        Setelah selamat melalui kawasan berair ini, kami berhenti seketika untuk bergambar sementara menunggu kesemua kenderaan melepasi kawasan ini. Di kawasan ini kami berselisih dengan penduduk asli Gunung Pinatubo. Kami mengambil kesempatan merakam gambar.






      Di kawasan berair ini saya menyaksikan dua dunia yang berlainan tamadun bertembung dengan tujuan yang juga nyata berbeza. Kami dari bandar ingin melihat keindahan alam di kawah Gunung Pinatubo, menaiki jentera garang yang direka untuk melalui perjalanan lasak namun masih memerlukan bantuan jentera gagah dan keringat pribumi. Mereka pula penduduk asli Gunung Pinatubo, ingin ke tujuan masing-masing untuk melangsungkan kehidupan dengan menaiki kenderaan asas tetapi lancar.






       Setelah kesemua 4x4 melepasi kawasan ini, kami meneruskan perjalanan hingga ke titik penghujung kawasan yang boleh dilalui kenderaan pancuan 4 roda ini. Kami akhirnya melalui kawasan bertebing pasir yang tinggi. Pancuan 4 roda ini akhirnya berhenti di satu kawasan yang terdapat pondok kecil dan beberapa bilik tandas iaitu penghujung jalan yang boleh dilaluinya.




        Setelah berehat seketika, kami mula trekking ke tasik Gunung Pinatubo mengikuti guide yang telah ditetapkan untuk kumpulan. Dari sini kami trekking sekitar 2 jam dengan jarak 7 kilometer. Di awal trekking kami mendaki sedikit melalui hutan sehingga sampai ke kampung orang asli. Di kampung ini terdapat beberapa buah rumah dan kami berehat seketika.





        Kemudian kami meneruskan trekking sehingga sampai ke kampung orang asli yang kedua. Jalur agak panas kerana melalui kawasan terbuka. Di kampung orang asli kedua ini terdapat sebuah kedai yang menjual makanan ringan dan minuman. Beberapa orang penjual ais juga ada berniaga. Kampung ini terletak di bawah, di kaki tebing pasir yang tinggi dan terdapat sungai yang cetek.






      Setelah menulis nama di pondok untuk melaporkan kehadiran, kami meneruskan trekking ke tasik Gunung Pinatubo. Kami trekking melalui jalur di sisi sungai dan sekali-sekala melintasi sungai. Nasib kami baik kerana air sungai agak cetek dan memudahkan kami menyeberang.






      Kami berhenti sebentar di kawasan yang ditandai jarak ke kawah lagi 20 minit berjalan. Di sini terdapat 2 buah pondok untuk berehat dan terdapat juga peniaga yang menjual air botol  dan mineral. Kemudian kami meneruskan baki trekking ke kawah Gunung Pinatubo dan sampai di sana sekitar jam 11:30 pagi.





      Dari bibir kawah ini saya melihat tasik Gunung Pinatubo yang indah terbentang di bawah. Tasik ini dikatakan sedalam 600 hingga 800 meter dan tidak dibenarkan berenang kerana panas dan dalam. Lebarnya pula sekitar 2 kilometer. Kami berehat, makan tengahari dan merakam gambar sambil menyaksikan keindahan tasik ini sebelum berangkat pulang sekitar jam 1:50 petang melalui jalur yang sama kami lalui masa datang tadi. Terdapat beberapa orang peniaga menjual makanan ringan dan minuman di sini.





       Kami  sampai di tempat 4x4 menunggu sekitar jam 2:30 petang dan meneruskan perjalanan pulang ke Base Camp Botolan, Zambales. Perjalanan pulang kami agak lancar kerana kawasan berair telah surut. Kami sampai di Botolan sekitar jam 5:00 petang. Setelah membersihkan diri dan berehat, kami berangkat pulang ke Manila menaiki van yang sedia menunggu dan sampai di Manila pada jam 10:00 malam. Saya bercadang ke sini lagi jika ada rezeki di masa akan datang. Mungkin masa itu saya akan bermalam di tepi tasik yang mempesonakan ini. Terima kasih Allah.


Nota:
1- Rakyat Malaysia tidak memerlukan visa untuk ke Filipina
2- Masa sesuai kesini adalah pada musim panas iaitu pertengahan bulan October hingga pertengahan  bulan June.
3- Pakai pakaian sesuai kerana trek melalui kawasan berpasir, debu, panas dan melintasi sungai.
4- Bawa dan pakai topi,spec,day crime, penutup hidung (berdebu) dan sebagainya.
5- Bawa air mineral 2 liter untuk minuman sendiri.
6- Enjoy the trek.

Itinerary:
02:00- Berkumpul di Ortigas City, Manila.
02:30- Berangkat ke Base Camp di Botolan  Zambales.
06:00- Sampai di Botolan Zambales, briefing.
06:45- Mula perjalanan ke Tasik Gunung Pinatubo menaiki 4x4.
09:20- Mula trekking.
11:30- Sampai tasik Gunung Pinatubo.
12:50- Trekking balik.
15:00- 4x4 ke Base Camp di Botolan.
18:00- berangkat pulang ke manila.
22:00- Sampai Ortigas, Manila.



2 ulasan:

xiera berkata...

Hai,

Sy nak bertanya, dekat mana untuk dapatkan open trip untuk gunung pinatubo? berapakah harga yang dikenakan?.

Jurimah Ariffin berkata...


hi...
saya ambil pakage di intenet. saya guna pakage agensi Tripinas. harga seorang sekitar Rm 220 ( kongsi transport).