Khamis, 16 Februari 2017

Gunung Taal Pulau Luzon

       Kedudukannya di tengah tasik di Pulau Luzon menarik minat saya untuk melihat sendiri keistimewaan Gunung Taal ini. Pada January 2017 saya dan 3 orang teman ke sini dengan mengambil pakage "privert trip" dari Manila. Walaupun ketinggiannya tidak sampai 400 mdpl, namun perjalanan ke gunung ini yang lain dari gunung biasa saya daki, mengundang minat kami untuk ke sini.


       Gunung Taal berada di tengah Tasik Taal di bandar Tagaytay di daerah Batangas, berjarak 50 kilometer di selatan bandar Manila. Perjalanan kami bermula seawal jam 7:00 pagi dari Manila manaiki van yang disewa. Perjalanan mengambil masa sekitar 2 jam.


      Kami sampai di Green Resort tepi Tasik Taal sekitar jam 9:00 pagi dan di resort ini kami diberi sedikit taklimat mengenai Gunung Taal sebelum meneruskan perjalanan menuju destinasi. Gunung Taal merupakan gunung berapi kedua aktiv di Filipine setelah Gunung Mayon. Gunung ini sesuai dikunjungi dari bulan Ocktober sehingga akhir bulan June iaitu di musim panas.



      Kami kemudian menaiki bot ke Kampung Talisay di kaki Gunung Taal. Gunung Taal berada di Banjaran Tagaytay dan perjalanan menaiki bot berbentuk tradisional ini mengambil masa sekitar 20 hingga 30 minit. Tasik Taal merupakan tasik terbesar di Pulau Luzon dan kedalamannya melebihi 100 meter.





       Sampai di Kampung Talisay kami melaporkan diri di Pejabat Gunung Taal. Ada 2 cara untuk ke Gunung Taal dari sini iaitu samada kita berjalan kaki atau menunggang kuda. Terdapat banyak kuda untuk disewa jika pengunjung tidak mampu berjalan ke gunung ini, dan kadar bayarannya pula adalah sekitar 600 Peso untuk pergi dan pulang.





        Ada 4 jalur ke Gunung Taal ini iaitu Daang Kastila Trail yang paling mudah dan mengambil masa sekitar 45 minit hingga 1 jam, Calauit Trail yang menghala terus ke bawah kawah tasik yang mengambil masa sekitar  1 hingga 2 jam trekking, Mt Tabaro Trail yang mengambil masa sekitar 5 jam dan Ambassador Trail. Kami memilih trail paling mudah iaitu Daang Kastila Trail. Di awal perjalanan kami menyusuri jalan kampung hingga pinggir  hutan. Jalur pasir hitam agak landai tapi berdebu dan kami kongsi trek itu bersama kuda yang beropesi membawa penumpang menyebabkan trek lebih berhabuk.






      Jalur agak terbuka dan panas. Sepanjang trek ke kawah tasik kami melihat panorama indah Tasik Taal. Dikatakan terdapat sekitar 47 puncak di Gunung Taal ini. Setelah trekking hampir 1 jam kami sampai di menara salah satu puncak Gunung Taal. Dari atas menara ini kami melihat sekitar Gunung Taal yang di kelilingi tasik.




      Dari sini kami dapat melihat Gunung Maculot dan terdapat gerai menjual minuman dan makanan ringan juga. Kami kemudian ke "red lava" di hujung trek. Untuk ke "red lava" ini pengunjung dikenakan bayaran tambahan 50 Peso seorang. Terdapat pulau kecil di tangah tasik, ini bermakna pulau kecil ini terletak di dalam tasik, tasik ini pula terletak di Gunung Taal dan Gunung Taal ini pula di tengah Tasik Taal di Pulau Luzon. Ini merupakan pembentukan alam yang sangat unik dan menarik.







    Setelah berada hampir 2 jam di atas kawah Gunung Taal, kami bergerak turun ke Kampung Talisay melalui jalur yang sama kami naik. Sampai di sana kami berehat sebentar dan terus menaiki bot menuju Green Resort dan pulang ke Manila. Terima kasih Allah.




Nota:
1- Masa sesuai ke Gunung Taal adalah dari bulan October hingga akhir June.
2- Jika pergi sendiri, bas ke bandar Tagaytay boleh diambil dari Stesen Bas Pedro Gill, Costal Terminal. Kemudian menaiki teksi motosikal ke tasik dan mengambil bot ke Kampung Talisay.
3- Bayaran tiket ke Gunung Taal 100 Peso seorang dan jika terus ke "red lava" pula tambahan 50 peso seorang dikenakan.
4- Bawa dan pakai pelindung hidung dan mulut (facemask) kerana trek berdebu dan berhabuk.
5- Bawa dan pakai topi, day crime, sun glas, dan sebagainya kerana trek terbuka dan agak panas.

Itinerary:
07:00- Berangkat menaiki van menuju Batangas.
09:00- Sampai Green Resort dan mendengar taklimat
09:30- Menaiki bot menuju Kampung Talisay
10:00- Lapor diri di Pejabat Gunung Taal dan mula trekking.
11:00- Sampai kawah Gunung Taal.
12:30- Bergerak turun.
13:00- Menaiki bot pulang ke resort.
14:10- Bergerak pulang ke Manila.
15:30- Sampai Manila.


Khamis, 9 Februari 2017

Gunung Pinatubo

       Ketinggian puncaknya adalah 1745 mdpl, namun setelah meletus pada June 1991, ketinggianya menyusut kepada 1485 mdpl. Letusan kedua hebat di dunia pada abad ke20 ini meruntuhkan sama sekali puncaknya, memusnahkan kawasan sekitar dengan lahar, asap dan debu, namun telah menghadiahkan sebuah tasik indah dari letusan yang mengorbankan ratusan jiwa di Pulau Luzon.


        Gunung Pinatubo terletak sekitar 150 kilometer di utara Manila, di sempadan 3 daerah iaitu Tarlac, Pampanga dan Zambales. Gunung Pinatubo merupakan gunung berapi aktif namun selamat untuk dilawati. Tiada kenderaan awam untuk ke Base Camp gunung ini tetapi terdapat banyak Tour Agency yang mengendalikan pakage untuk ke sini. Masa sesuai untuk ke gunung ini adalah di musim panas iaitu bermula pertengahan bulan October hingga pertengahan bulan June.


      Saya bersama 4 orang teman pendaki ke sini pada January 2017 sekembalinya dari mendaki Gunung Pulag. Kami mengambil "open trip pakage" dari Manila. Kami berkumpul di Ortigas Center Manila seawal jam 2:00 pagi. Dari sini kami bertolak ke Base Camp di Botolan Zambales menaiki van. Perjalanan mengambil masa 3 jam tanpa henti. Kami sampai di Botolan Zambales sekitar jam 6:00 pagi. Di Base Camp ini kami mendengar sebentar taklimat dari tour agency, membahagi kumpulan dan meneruskan perjalanan ke Gunung Pinatubo menaiki pancuan empat roda 4x4. Selesai semua urusan kami memulakan perjalanan sekitar jam 06:45 pagi dan dari sini perjalanan ke Gunung Pinatubo yang sebenar bermula.



      Jarak dari Base Camp Botolan Zambales ke kawah Gunung Pinatubo sekitar 28 kilometer. Perjalanan menaiki 4x4 ini mengambil masa sekitar 1 jam 30 minit. Di awal perjalanan kami membelah kawasan padang pasir yang berdebu.




        Setelah meneruskan perjalanan sekitar 50 minit, kami sampai di satu kawasan yang dipenuhi air. Ia kelihatan seperti sebuah tasik yang luas namun air yang mengalir kelihatan seperti sungai. 4x4 bergilir-gilir menyeberangi kawasan berair ini dan sebuah lori sedia menunggu untuk membantu 4x4 yang gagal melepasi kawasan ini. Untuk melalui kawasan ini ramai pembantu orang tempatan diupah untuk melancarkan perjalanan.





        Setelah selamat melalui kawasan berair ini, kami berhenti seketika untuk bergambar sementara menunggu kesemua kenderaan melepasi kawasan ini. Di kawasan ini kami berselisih dengan penduduk asli Gunung Pinatubo. Kami mengambil kesempatan merakam gambar.






      Di kawasan berair ini saya menyaksikan dua dunia yang berlainan tamadun bertembung dengan tujuan yang juga nyata berbeza. Kami dari bandar ingin melihat keindahan alam di kawah Gunung Pinatubo, menaiki jentera garang yang direka untuk melalui perjalanan lasak namun masih memerlukan bantuan jentera gagah dan keringat pribumi. Mereka pula penduduk asli Gunung Pinatubo, ingin ke tujuan masing-masing untuk melangsungkan kehidupan dengan menaiki kenderaan asas tetapi lancar.






       Setelah kesemua 4x4 melepasi kawasan ini, kami meneruskan perjalanan hingga ke titik penghujung kawasan yang boleh dilalui kenderaan pancuan 4 roda ini. Kami akhirnya melalui kawasan bertebing pasir yang tinggi. Pancuan 4 roda ini akhirnya berhenti di satu kawasan yang terdapat pondok kecil dan beberapa bilik tandas iaitu penghujung jalan yang boleh dilaluinya.




        Setelah berehat seketika, kami mula trekking ke tasik Gunung Pinatubo mengikuti guide yang telah ditetapkan untuk kumpulan. Dari sini kami trekking sekitar 2 jam dengan jarak 7 kilometer. Di awal trekking kami mendaki sedikit melalui hutan sehingga sampai ke kampung orang asli. Di kampung ini terdapat beberapa buah rumah dan kami berehat seketika.





        Kemudian kami meneruskan trekking sehingga sampai ke kampung orang asli yang kedua. Jalur agak panas kerana melalui kawasan terbuka. Di kampung orang asli kedua ini terdapat sebuah kedai yang menjual makanan ringan dan minuman. Beberapa orang penjual ais juga ada berniaga. Kampung ini terletak di bawah, di kaki tebing pasir yang tinggi dan terdapat sungai yang cetek.






      Setelah menulis nama di pondok untuk melaporkan kehadiran, kami meneruskan trekking ke tasik Gunung Pinatubo. Kami trekking melalui jalur di sisi sungai dan sekali-sekala melintasi sungai. Nasib kami baik kerana air sungai agak cetek dan memudahkan kami menyeberang.






      Kami berhenti sebentar di kawasan yang ditandai jarak ke kawah lagi 20 minit berjalan. Di sini terdapat 2 buah pondok untuk berehat dan terdapat juga peniaga yang menjual air botol  dan mineral. Kemudian kami meneruskan baki trekking ke kawah Gunung Pinatubo dan sampai di sana sekitar jam 11:30 pagi.





      Dari bibir kawah ini saya melihat tasik Gunung Pinatubo yang indah terbentang di bawah. Tasik ini dikatakan sedalam 600 hingga 800 meter dan tidak dibenarkan berenang kerana panas dan dalam. Lebarnya pula sekitar 2 kilometer. Kami berehat, makan tengahari dan merakam gambar sambil menyaksikan keindahan tasik ini sebelum berangkat pulang sekitar jam 1:50 petang melalui jalur yang sama kami lalui masa datang tadi. Terdapat beberapa orang peniaga menjual makanan ringan dan minuman di sini.





       Kami  sampai di tempat 4x4 menunggu sekitar jam 2:30 petang dan meneruskan perjalanan pulang ke Base Camp Botolan, Zambales. Perjalanan pulang kami agak lancar kerana kawasan berair telah surut. Kami sampai di Botolan sekitar jam 5:00 petang. Setelah membersihkan diri dan berehat, kami berangkat pulang ke Manila menaiki van yang sedia menunggu dan sampai di Manila pada jam 10:00 malam. Saya bercadang ke sini lagi jika ada rezeki di masa akan datang. Mungkin masa itu saya akan bermalam di tepi tasik yang mempesonakan ini. Terima kasih Allah.


Nota:
1- Rakyat Malaysia tidak memerlukan visa untuk ke Filipina
2- Masa sesuai kesini adalah pada musim panas iaitu pertengahan bulan October hingga pertengahan  bulan June.
3- Pakai pakaian sesuai kerana trek melalui kawasan berpasir, debu, panas dan melintasi sungai.
4- Bawa dan pakai topi,spec,day crime, penutup hidung (berdebu) dan sebagainya.
5- Bawa air mineral 2 liter untuk minuman sendiri.
6- Enjoy the trek.

Itinerary:
02:00- Berkumpul di Ortigas City, Manila.
02:30- Berangkat ke Base Camp di Botolan  Zambales.
06:00- Sampai di Botolan Zambales, briefing.
06:45- Mula perjalanan ke Tasik Gunung Pinatubo menaiki 4x4.
09:20- Mula trekking.
11:30- Sampai tasik Gunung Pinatubo.
12:50- Trekking balik.
15:00- 4x4 ke Base Camp di Botolan.
18:00- berangkat pulang ke manila.
22:00- Sampai Ortigas, Manila.