Sabtu, 15 Oktober 2016

Moscow bandaraya hebat

     Saya bersama teman-teman transit dan berehat di bandaraya Moscow atau Moskva ini selama 3 hari dalam perjalanan pulang dari xpdc mendaki Gunung Elbrus pada tahun 2012. Moscow merupakan ibu negara Rusia sekaligus merangkumi pusat ekonomi, kebudayaan, pendidikan dan pengangkutan negara tersebut. Keretapi bawah tanah Moscow merupakan jaringan keretapi tersibuk di dunia. Satu tempat yang saya paling ingin pergi jika ke Moscow adalah Arbat Street. Menyaksikan senibina bangunan sejarah yang dibina pada kurun ke 15.


     Hari pertama sampai Moscow kami habiskan dengan bersiar-siar di sekitar kawasan hotel. Kami ke sana pada musim panas, jadi siang di sini lebih panjang dari malam. Ketika bersiar pada jam 21:30 malam, masih ada matahari. Subuh masa itu sekitar jam 4:00 pagi manakala Isyak pula sekitar jam 12:00 tengah malam.





      Hari kedua kami di sana, kami berpeluang bersiar-siar di Arbart Street. Tempat yang amat ingin saya pergi jika ke Moscow. Sudah lama saya ingin ke sini menyaksikan banguanan lama yang dibina oleh pakar-pakar jurutera zaman dahulu yang terkenal pada kurun ke 15 ini.

Saint Basil's Cathedal
     Moscow yang juga ibu kota Rusia, mengambil nama sempena sebatang sungai yang membelah kota ini. Kristen adalah agama utama dan didominasi oleh penganut Kristen Ortodoks, diikuti penganut agama lain seperti Islam, Budha, Yahudi dan lain-lain lagi. Bandar ini juga dihuni oleh orang-orang kaya dunia.





      Arbat Street sepanjang satu kilometer terletak di pusat sejarah Moscow dan ia antara jalan tertua di Moscow. Selain bangunan-bangunan sejarahnya, ramai artis bekerja dan tinggal di jalan ini, menyebabkan ia menjadi kawasan tarikan pelancong. Di sini juga terdapat banyak kedai yang menjual berbagai jenis barangan terutama cenderamata dan perhiasan.





       Kami menghabiskan satu hari berjalan di Arbat Street, melihat bangunan-bangunan lama antaranya Saint Basil's Cathedral yang saya gambarkan seperti istana di Disneyland sebelum ini. Selain itu kami juga melawat bangunan Red Square, Moscow Kramlin, Bolshoi Theatre, Arbatskaya Square dan lain-lain bangunan lama yang tidak saya ketahui namanya. Kami juga singgah di Hard Rock Cafe di hujung jalan ini untuk membeli koleksi T-shirt.

Red Square






      Hari ketiga di Moscow kami ke Pasar Izmailovo atau Izmailovsky Market. Kebetulan hotel tempat kami menginap terletak berdekatan dengan pasar ini sekitar kurang 10 minit berjalan kaki. Pasar ini merupakan tempat terbaik membeli cenderamata jika kita ke Moscow kerana terdapat berbagai jenis barangan yang dijual.


 

      Pasar ini dibuka setiap hari kecuali hari isnin, selasa dan khamis dari jam 10:00 pagi hingga jam 18:00 petang. Pasar ini merupakan tempat terbaik membeli cenderamata dan buah tangan kerana boleh tawar-menawar. Antara barangan yang banyak dijual di sini adalah barangan kraftangan, cenderamata, pakaian, pakaian musim sejuk dari bulu binatang, perhiasan diri, permainan kanak-kanak, perhiasan rumah, barang dari pertukangan kayu dan berbagai lagi.







      Semasa kami di pasar ini, kami terjumpa seorang anak muda tempatan yang fasih berbahasa Malaysia. Saya sedikit terkejut bila disapa dan dia asyik berbicara dalam Bahasa Malaysia. Dia cuma ketawa bila ditanya bagaimana dan di mana dia belajar Bahasa Malaysia. Hingga ke akhir kami bersembang dia tidak memberitahu kami bagaimana dia dapat menguasai bahasa indah ini.








Saya berharap akan ke sini lagi jika ada rezeki. Terima kasih Allah.

Nota:
1- Rakyat Malaysia memerlukan visa untuk ke Rusia.
2- Masa sesuai kesana adalah musim panas kerana siang lebih panjang dari waktu malam, jadi kita mempunyai masa yang panjang untuk bersiar.


2 ulasan:

Unknown berkata...

Salam..bole share tinggal hotel dimana?

Jurimah Ariffin berkata...


wsalam...saya tak tau nama hotel tu sebab tulis dalam bahasa rusia, hotel yang gambar kedua dalam blog tu...hotel tu dekat dengan pasar ismailovo.