Sabtu, 15 Oktober 2016

Moscow bandaraya hebat

     Saya bersama teman-teman transit dan berehat di bandaraya Moscow atau Moskva ini selama 3 hari dalam perjalanan pulang dari xpdc mendaki Gunung Elbrus pada tahun 2012. Moscow merupakan ibu negara Rusia sekaligus merangkumi pusat ekonomi, kebudayaan, pendidikan dan pengangkutan negara tersebut. Keretapi bawah tanah Moscow merupakan jaringan keretapi tersibuk di dunia. Satu tempat yang saya paling ingin pergi jika ke Moscow adalah Arbat Street. Menyaksikan senibina bangunan sejarah yang dibina pada kurun ke 15.


     Hari pertama sampai Moscow kami habiskan dengan bersiar-siar di sekitar kawasan hotel. Kami ke sana pada musim panas, jadi siang di sini lebih panjang dari malam. Ketika bersiar pada jam 21:30 malam, masih ada matahari. Subuh masa itu sekitar jam 4:00 pagi manakala Isyak pula sekitar jam 12:00 tengah malam.





      Hari kedua kami di sana, kami berpeluang bersiar-siar di Arbart Street. Tempat yang amat ingin saya pergi jika ke Moscow. Sudah lama saya ingin ke sini menyaksikan banguanan lama yang dibina oleh pakar-pakar jurutera zaman dahulu yang terkenal pada kurun ke 15 ini.

Saint Basil's Cathedal
     Moscow yang juga ibu kota Rusia, mengambil nama sempena sebatang sungai yang membelah kota ini. Kristen adalah agama utama dan didominasi oleh penganut Kristen Ortodoks, diikuti penganut agama lain seperti Islam, Budha, Yahudi dan lain-lain lagi. Bandar ini juga dihuni oleh orang-orang kaya dunia.





      Arbat Street sepanjang satu kilometer terletak di pusat sejarah Moscow dan ia antara jalan tertua di Moscow. Selain bangunan-bangunan sejarahnya, ramai artis bekerja dan tinggal di jalan ini, menyebabkan ia menjadi kawasan tarikan pelancong. Di sini juga terdapat banyak kedai yang menjual berbagai jenis barangan terutama cenderamata dan perhiasan.





       Kami menghabiskan satu hari berjalan di Arbat Street, melihat bangunan-bangunan lama antaranya Saint Basil's Cathedral yang saya gambarkan seperti istana di Disneyland sebelum ini. Selain itu kami juga melawat bangunan Red Square, Moscow Kramlin, Bolshoi Theatre, Arbatskaya Square dan lain-lain bangunan lama yang tidak saya ketahui namanya. Kami juga singgah di Hard Rock Cafe di hujung jalan ini untuk membeli koleksi T-shirt.

Red Square






      Hari ketiga di Moscow kami ke Pasar Izmailovo atau Izmailovsky Market. Kebetulan hotel tempat kami menginap terletak berdekatan dengan pasar ini sekitar kurang 10 minit berjalan kaki. Pasar ini merupakan tempat terbaik membeli cenderamata jika kita ke Moscow kerana terdapat berbagai jenis barangan yang dijual.


 

      Pasar ini dibuka setiap hari kecuali hari isnin, selasa dan khamis dari jam 10:00 pagi hingga jam 18:00 petang. Pasar ini merupakan tempat terbaik membeli cenderamata dan buah tangan kerana boleh tawar-menawar. Antara barangan yang banyak dijual di sini adalah barangan kraftangan, cenderamata, pakaian, pakaian musim sejuk dari bulu binatang, perhiasan diri, permainan kanak-kanak, perhiasan rumah, barang dari pertukangan kayu dan berbagai lagi.







      Semasa kami di pasar ini, kami terjumpa seorang anak muda tempatan yang fasih berbahasa Malaysia. Saya sedikit terkejut bila disapa dan dia asyik berbicara dalam Bahasa Malaysia. Dia cuma ketawa bila ditanya bagaimana dan di mana dia belajar Bahasa Malaysia. Hingga ke akhir kami bersembang dia tidak memberitahu kami bagaimana dia dapat menguasai bahasa indah ini.








Saya berharap akan ke sini lagi jika ada rezeki. Terima kasih Allah.

Nota:
1- Rakyat Malaysia memerlukan visa untuk ke Rusia.
2- Masa sesuai kesana adalah musim panas kerana siang lebih panjang dari waktu malam, jadi kita mempunyai masa yang panjang untuk bersiar.


Jumaat, 7 Oktober 2016

Gunung Bah Gading via Air Terjun Tigok


       Tarikan utama saya mendaki Gunung Bah Gading 1620 meter, adalah Air Terjun Tigok. Jadi apabila teman yang mengetuai trip ke gunung ini mengajak saya ke sana pada awal October 2016, saya terus setuju untuk turut serta. Kami berkumpul di kedai Mamak Salim keluar dari tol lebuhraya Utara-Selatan Exit Bidor. Setelah menyerahkan senarai nama peserta ke pejabat polis, kami memandu ke kampung orang asli di Pos Gedung melalui Jalan Paku di Bidor. Hampir sejam memandu melalui jalan mini tar, kami sampai di kampung orang asli di Pos Gedung. Sampai di sana kami bersiap sedia, "briefing" dan sesi berkenalan ala kadar diadakan sebelum memulakan trekking pada jam 10:45 pagi.



      Perjalanan awal, kami melalui kebun buah-buahan milik penduduk kampung dan menyeberangi sungai. Kebetulan musim buah-buahan masih berlarutan, jadi kami berpeluang menikmati buah durian semasa trip ini. Kami trekking secara santai dan trek mendatar dari Kampung Pos Gedung sehingga sampai ke Kem Tigok


Buah Tampoi yang sedang berbuah lebat.
      Setelah menyeberangi sungai sekitar 8 kali kami singgah untuk masak dan makan tengahari pada pukul 13:00 petang. Kami kemudiannya meneruskan perjalanan ke Kem Tiguk pada jam 15:05 petang setelah berehat dan makan. Saya yang berjalan di dalam kumpulan terakhir sampai di Kem Tiguk pada jam 16:00 petang. Setelah mendirikan khemah kami melakukan aktivity bebas dan saya bersama beberapa orang teman terus menikmati kesegaran Air Terjun Tiguk yang dingin dan bersih.







       Keesokan paginya kami bangun sekitar 2:30 pagi untuk meneruskan pendakian ke puncak. Kami bersarapan dan memulakan pendakian pada pukul 3:50 pagi. Trek ke puncak hampir 90% mencacak. Akhirnya saya yang mendaki di kumpulan akhir sampai di puncak pada jam 8:30 pagi. Di puncak Gunung Bah Gading terdapat penanda beirut dan pemandangan 360 darjah dapat dilihat dari puncak setinggi 1620 meter ini. Kami juga dapat melihat puncak Gunung Batu Putih dengan jelas.



Latar belakang Gunung Batu Putih


        Setelah puas bergambar kami mula bergerak turun dari puncak sekitar jam 9:30 pagi. Kumpulan pertama sampai di Kem Tigok sekitar jam 11:00 pagi manakala saya yang berjalan di kumpulan akhir sampai jam 14:00 petang. Selesai makan kami bersiap sedia untuk pulang dan kami meneruskan perjalanan sekitar jam 15:30 petang.



       Kami sampai di kampung orang asli Pos Gedung pada pukul 19:30 malam. Sejam kemudian kami memandu keluar dari Kampung Pos Gedung menuju destinasi masing-masing. Terima kasih Allah.

Itinerary:
Day 1:
Berkumpul di kedai Mamak Salim Exit Tol Bidor (kanan).
09:30- Memandu ke kampung orang asli Pos Gedung (sekitar 50 minit).
10:45- Mula trekking ke Kem Tigok.
16:00- Sampai Kem Tigok (bermalam).
Day 2:
03:50- Mula mendaki ke puncak (sekitar 3-4 jam /normal).
08:30- Sampai puncak (saya di kumpulan akhir)
09:30- Bergerak turun dari puncak ke Kem Tigok (sekitar 2 jam / normal).
15:30- Bergerak keluar dari Kem Tigok.
19:30- Sampai di kampung orang asli Pos Gedung.
20:30- Bersurai menuju destinasi masing-masing.

Nota:
1- Gunung Bah Gading,1620 meter terletak di Bidor, Perak dan memerlukan kebenaran dan permit dari Pejabat Hutan Daerah Perak Selatan (Tapah).
2- Ada dua laluan ke puncak Gunung Bah Gading iaitu melalui Kem Orkid atau melalui Air Terjun Tigok.
3- Permit seorang Rm10 (dibayar kepada Pejabat Hutan Daerah Perak Selatan / Tapah)
4- Permit kumpulam (2-100 orang) Rm20 juga di bayar di pejabat yang sama (guide boleh uruskan).
5- Guide:
A) Alen (012-5762402),  B) Yoyo (013-5179192).
Cadangan: pendakian 3 hari 2 malam lebih santai.