Isnin, 1 Ogos 2016

Gunung Fuji mutiara timur


       Bersyukurlah jika mendaki gunung Fuji ketika cuaca cerah dan baik. Gunung berbentuk cone yang diselaputi salji beberapa bulan setiap tahun ini menjadi simbol masyarakat Jepun dan sering menjadi bahan karya seni penduduk matahari terbit itu. Merupakan gunung tertinggi di Jepun, 3776 mdpl terletak sekitar 100 km di barat Tokyo, Pulau Honshu. Gunung Fuji dikelilingi 3 kota iaitu Gotemba di sebelah timur, Fuji-Yoshida di utara dan Fujinomiya di barat daya. Terdapat 5 tasik di sekitarnya, iaitu Tasik Kawaguchi, Tasik Yamanaka, Tasik Sai, Tasik Motosu dan Tasik Shoji.


       Saya bersama 2 orang teman mendaki Gunung Fuji ini pada July 2016 dalam XPDC Japan 1234 yang diilhamkan oleh Thaha, seorang teman pendaki. XPDC Japan 1234 adalah XPDC menawan puncak pertama hingga puncak keempat tertinggi di Jepun. Kami sampai di lapangan terbang Haneda sekitar jam 10:30 malam. Disebabkan bas terakhir ke Kawaguchiko telah berlepas untuk hari itu, kami cuma bermalam di airport sementara menunggu bas awal keesokan paginya yang dijangka pada pukul 06:55 pagi. Bas ke Kawaguchiko mengambil masa sekitar 3 jam dan tambangnya pula 2470 yen. Dari stesen bas Kawaguchiko kami berjalan kaki sekitar 20 minit ke K's House tempat kami menginap. Malam itu kami tidak bermalam di K's House, kami hanya menyimpan beg kerana kami telah merancang mendaki Gunung Fuji. Petang itu setelah makan dan bersedia, kami berjalan ke stesen bas Kawaguchiko dan membeli tiket bas ke Stesen 5 di mana jalur pendakian ke Gunung Fuji bermula. Tambang bas ke Stesen 5 berharga 1500 yen sehala dan jika kita membeli ticket pergi pulang, harganya pula adalah 2200 yen sahaja. Setelah membeli ticket pergi pulang untuk berjimat, kami bersiar sekitar bandar Kawaguchiko sementara menunggu bas terakhir pada pukul 7:00 petang. Perjalanan ke stesen 5 mengambil masa sekitar 50 minit dan kami sampai di Stesen 5 hampir jam 8:00 malam.


        Kami memulakan pendakian ke Gunung Fuji sekitar jam 9:10 malam. Malam itu bulan mengambang penuh dan saya dapat melihat awan terbentang tenang sepanjang malam pendakian. Kami trekking secara santai kerana mengikut pembacaan saya di internet, gunung ini memerlukan masa sekitar 5 hingga 7 jam untuk ke puncak. Sampai di Stesen 7, kami mengambil kesempatan untuk tidur selama 2 jam kerana keletihan. Pada pukul 2:00 pagi kami meneruskan pendakian ke Stesen 8 tetapi angin bertiup kencang. Kami berehat di Stesen 8 sehingga matahari terbit. Suasana fajar ketika itu sungguh memukau pancaindera saya dan teman pendaki. Kami kongsi menyaksikan kuasa cahaya dari langit yang sangat indah pagi itu.






        Kami kemudiannya meneruskan pendakian ke Stesen 9. Tetapi masa ini saya sangat letih dan bergerak amat perlahan kerana terlalu mengantuk. Sering kali saya tertidur di atas trek jika duduk berehat. Trek ke puncak pula dibina secara 'zigzag' kerana batu dan pasir gunung yang mengelonsor dan untuk mengelak kesukaran mendaki jika trek menegak. Gunung Fuji merupakan gunung berapi yang masih aktif tetapi kemungkinan meletus adalah sangat rendah dan kali terakhir gunung ini meletus adalah pada tahun 1707.










          Terdapat banyak rumah penginapan sepanjang trek dari Stesen 6 hingga Stesen 9. Akhirnya saya sampai di salah sebuah puncak Gunung Fuji sekitar jam 12:00 tengahari. Terdapat 8 puncak di Gunung Fuji dan puncak tertingginya adalah Puncak Kagamine 3775.6 meter. Saya yang mendaki dari Yoshida trail mencari-cari puncak Kagamine yang dikatakan berada di pencawang ramalan cuaca.










       Saya terus berjalan ke arah kiri menghala deretan kedai yang terdapat di puncak sambil meninjau puncak-puncak lain di bibir kawah. Sampai di hujung deretan kedai, saya lihat terdapat puncak yang berbangunan di bibir kawah bertentangan dengan tempat saya berjalan. Ini bermakna saya harus mengililingi kawah Gunung Fuji jika hendak ke puncak tersebut. Saya dan teman berjalan perlahan-lahan ke sana dan sampai ke puncak Kagamine 3775.6 meter setelah sejam berjalan. Kami merasa puas hati dan merakam beberapa keping gambar kenangan di sini.






         Kami kemudian meneruskan perjalanan ke deretan kedai yang saya lalui semasa sampai di puncak awal tadi kerana jaraknya lebih dekat dari saya berpatah balik. Sepatutnya saya bergerak ke arah kanan semasa sampai di puncak dari Yoshida trail untuk ke puncak Kagamine kerana jarak lebih dekat berbanding berjalan dari hujung deretan kedai. Saya dan teman meneruskan perjalanan turun dari puncak Gunung Fuji sekitar jam 2:00 petang dan kami sampai di Stesen 5 pada pukul 7:00 petang. Bas terakhir ke Stesen Kawaguchiko adalah pada pukul 8:00 malam.






       Bagi pendaki yang kurang stamina seperti saya, Gunung Fuji agak sukar jika kita mendaki daypack. Saya cadangkan pendaki mendaki hari pertama dan tidur di Stesen 8 atau 9, kemudian meneruskan pendakian ke puncak seawal pagi hari kedua sekitar jam 1:00 atau 2:00 pagi untuk menyaksikan sunrise. Menyaksikan matahari terbit di Gunung Fuji merupakan rezeki pendaki kerana Gunung Fuji juga sering dilanda kabus tebal. Terima kasih Allah.

Nota:
1- Gunung ini tidak memerlukan permit pendakian dan guide.
2- Jalur sangat jelas dan dijaga rapi tetapi trek agak bahaya kerana pasir gunung berapi yang mengelonsor.
3- Tambang bas dari Kawaguchiko ke Stesen 5 adalah 1500 yen sehala dan 2200 yen jika dibeli pergi pulang.
4- Gunung ini mula dibuka untuk pendakian bermula 1 July dan padat dengan activity pendaki pada bulan July dan August.
5- Harga menginap semalam di Stesen 7, 8 atau 9 sekitar 8000 yen seorang termasuk makan dan 5800 yen tanpa makan (namun harga sebenar terpulang pada pemilik rumah tumpangan).
6-Terdapat juga locker untuk menyimpan beg di stesen bas Kawaguchiko.
7- Kepada pendaki yang sukakan kenangan, bolehlah membeli sebatang kayu / tongkat dengan harga sekitar 700-1000 yen yang banyak dijual di bandar Kawaguchiko dan Stesen 5 untuk dicop di rumah tumpangan di stesen sepanjang pendakian di Gunung Fuji, tetapi setiap cop pada kayu harus di bayar sekitar 200-300 yen.


4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Hutan Aokigahara

Ada jalan2 kat hutan ni tak waktu mendaki gunung fuji ni ?

Jurimah Ariffin berkata...

hahhahha..hutan tempat orang bunuh diri tu kan..saya tak pergi, saya tidak cukup berani.

DrCat berkata...

salah satu wish list saya..gunung fuji :) cantiknya view..subhanallah

Jurimah Ariffin berkata...

kena cuaca bagus cantik..nasib dan rezki aja dapat cuaca bagus. cuba la ke sana tapi pastikan sampai terus ke puncak kagamine.