Jumaat, 19 Ogos 2016

Gunung Ainodake

        Meneruskan pendakian ke Gunung Ainodake dalam XPDC Japan 1234 ini bermula setelah saya dan 2 orang teman pendaki turun dari puncak Gunung Kitadake iaitu gunung kedua tinggi di Japan. XPDC Japan 1234 ini bermula dengan pendakian Gunung Fuji di Kawaguchiko. Dari sana kami menaiki bas ke Kofu dan seterusnya ke Hirogawara. Setelah melaporkan diri di pejabat informasi pendakian di Hirogawara, kami mula mendaki dan berkhemah di Shiraneoike Hut. Hari ini kami mula mendaki secara "daypack" ke puncak Kitadake dan turun dari arah bertentangan kami mendaki, ke bawah untuk menuju ke Gunung Ainodake. Setelah turun sekitar 50 minit, kami jumpa papan tanda simpang ke Hirogawara iaitu jalur "alternative" ataupun jalan pintas ke Hirogawara. Teman pendaki saya mencadangkan kami melalui jalan pintas ini bila pulang nanti untuk mengelak daripada kami mendaki Gunung Kitadake 2 kali.



Papan tanda jalur alternatif ke Hirogawara


         Kami sampai di Kitadake Hut atau Kitadake Sanso (Kitadake Villa) pada pukul 1:50 petang. Dari sini kami menyusuri trek yang agak rata di Banjaran Minami tetapi jauh dan dalam perjalanan ke puncak Ainodake kami singgah sebentar di puncak Nakashirane 3055 meter sebagai bonus dan menambah koleksi gunung.





        Setelah mengambil gambar kenangan dan rehat sebentar, kami meneruskan perjalanan ke puncak Gunung Ainodake. Kami sampai di puncak Ainodake pada pukul 4:10 petang. Puncak Gunung Ainodake 3190 meter merupakan puncak keempat tinggi di Japan. Cuaca agak berkabus waktu petang di Banjaran Minami ini dan kami tidak nampak keindahan alam dari puncak ini. Setelah merakam gambar kenangan dan berehat seketika kami bergerak pulang pada pukul 4:30 petang ke tapak khemah untuk bermalam.



Puncak Ainodake
       Setelah berjalan sekitar 90 minit, kami sampai di Kitadake Sanso (Kitadake Villa) pada pukul 6:00 petang. Kami berehat, masak dan makan mi segera kerana keletihan dan lapar. 


           Setelah selesai makan kami meneruskan perjalanan turun sekitar jam 7:00 malam. Kami mula mengunakan lampu suluh kerana hari mulai gelap dan kabus agak tebal membataskan penglihatan. Setelah berjalan hampir 10 minit, kami masih tidak jumpa papan simpang ke Hirogawara. Kerana tidak mahu mengambil risiko, kami bertiga sepakat memutuskan untuk bermalam di Kitadake Sanso (Kitadake Villa). Semasa kami sampai di Kitadake Sanso, penyambut tetamu tersenyum melihat kedatangan kami kerana dia sudah mengagak alasan kami untuk bermalam di situ kerana kelewatan untuk pulang. Kami sampai di sana pada pukul 7:30 malam dan keadaan di sana sunyi sepi kerana pendaki yang sudah lena diulit mimpi. Penyambut tetamu yang ramah dan agak fasih berbahasa Inggris itu cuma berbisik-bisik bila berbicara agar tidak mengganggu pendaki yang sedang tidur nyenyak. 


Tempat tidur di dalam Kitadake Sanso

Ruang makan di Kitadake Sanso
         Bayaran semalam tidur di Kitadake Sanso (Kitadake Villa) adalah 5800 yen tanpa makan. Di sini kami tidur gaya masyarakat Japan, dibekalkan selimut dan alas tempat tidur. Keesokkan paginya setelah sarapan sekadarnya (biscute kering yang kami bawa dan minuman 3 in 1), kami meneruskan perjalanan turun pada pukul 7:10 pagi. Setelah jumpa papan tanda jalan ke Hirogawara, kami meneruskan perjalanan turun mengikuti jalan pintas ini. Pagi itu agak berkabus dan terdapat beberapa orang pendaki yang mengikuti jalur pintas ini. Walaupun kami membawa nota perkataan Hirogawara dalam abjad Japan, kami sering bertanya kepada pendaki tempatan untuk mengesahkan hala tuju kami memandangkan papan tanda yang kami temui sepanjang perjalanan turun hanya ditulis dalam tulisan Japan.

Di hadapan Kitadake Sanso





        Jalur turun agak curam dan licin. Kami berjalan dalam kabus yang agak tebal dan tidak ramai pendaki melalui jalur altenatif ini. Setelah berjalan lebih 2 jam kami menuruni lembah yang masih terdapat salji. Salji di lurah ini dikatakan akan membeku sehingga bulan August. Kami kemudiannya menyeberangi air terjun dan di sebelah sana kami jumpa papan tanda simpang ke Shiraneoike Hut tempat kami meninggalkan barang-barang kami semalam.







       Kami sampai di simpang ke Shiraneoike Hut pada pukul 10:25 pagi. Setelah berehat seketika dan bertegur sapa dengan pendaki tempatan, kami bertanya lagi untuk kepastian simpang ke Shiraneoike Hut. Setelah yakin kami kemudiannya meneruskan perjalanan ke Shiraneoike Hut dan jalur agak landai. Kami sampai di sana setengah jam kemudian.

Simpang ke Shiraneoike Hut




      Setelah sampai di Shiraneoike Hut, kami terus berkemas dan meneruskan perjalanan turun ke Hirogawara pada pukul 11:30 pagi dan sampai di Hirogawara pada pukul 2:00 petang.


       Kami kemudiannya menaiki bas pulang ke Kofu pada pukul 2:30 petang dan sampai di Kofu pada jam 4:00 petang. Perjalanan kami seterusnya adalah ke Matsumoto dan Kamikochi untuk mendaki Gunung Oku Hotaka. Terima kasih Allah.


Nota:
1- Tidak memerlukan permit dan guide untuk  mendaki di Banjaran Minami namun mesti melaporkan diri di pejabat informasi di Hirogawara.
2- Seperti gunung yang lain, sampah mesti dibawa pulang ( kami cuma jumpa tong sampah di bandar Kofu).
3- Bayaran semalam di Kitadake Hut atau Kitadake Sanso (Kitadake Villa) adalah 5800 yen seorang tanpa makan namun air panas untuk sarapan percuma.
4- Membawa nota perkataan (abjab) seperti perkataan Hirogawara dan sebagainya untuk panduan kerana kebanyakan papan tanda hanya ditulis dalam ejaan Japan.
5- Rajin bertegur sapa dengan pendaki tempatan untuk bertanya tentang laluan di banjaran kerana terdapat banyak jalur dan gunung di Banjaran Minami.
6- Perjalanan di Banjaran Minami berjarak jauh dan perlu bawa makanan lebih.
7- Bawa kelengkapan dan peralatan mendaki seperti tongkat, jacket, ubat, crime dan lain-lain.



Tiada ulasan: