Isnin, 18 April 2016

Gunung Merbabu Via Suwanting


       Gunung Double M di pulau Jawa memang tersenarai dalam rangkaian gunung Indonesia yang ingin saya jejaki sekali seumur hidup. Kali ini saya keseorangan dari Malaysia namun seorang teman di Jogjakarta sedia menemani saya untuk mengapai puncak Merbabu dan Merapi ini. Saya ke sini pada penghujung bulan March 2016. Dari airport Adi Sucipto di Jogjakarta kami menaiki bas ke Magelang dan singgah seketika melawat Candi Borobudur di pertengahan jalan. Setelah melawat Candi Borobudur lebih 2 jam, kami berjalan kaki kurang lebih 10 minit ke Muntilan Bus Terminal. Dari situ kami menaiki ojek ke bandar Blabak dan di bandar ini kami membeli sedikit barang keperluan untuk mendaki gunung Merbabu. Disebabkan kami sampai di Blabak agak lewat petang, tambahan pula hujan lebat, tiada ojek untuk kami meneruskan perjalanan ke Base Camp Gunung Merbabu via Suwanting. Nasib baik teman saya mempunyai sahabat di base camp yang sedia menjemput kami di bandar Blabak. Perjalanan dari Blabak ke Base Camp Merbabu via Suwanting mengambil masa kurang lebih 1 jam menaiki ojek.


        Ada banyak jalur ke puncak Merbabu antaranya jalur Selo dari Magelang, jalur Kopeng dari Salak Tiga, jalur Wekas dari Magelang dan yang terbaru jalur Suwanting juga dari Magelang. Jalur Selo menjadi kegemaran pendaki kerana dikatakan agak landai dan pemandangannya yang indah. Saya dan teman memilih jalur Suwanting untuk ke puncak dan turun pula melalui jalur Selo. Menurut teman jalur Suwanting pernah dibuka dalam tahun 1990 namun ditutup sekitar tahun 1998. Kini jalur Suwanting dibuka semula sekitar bulan March 2015 dan ia merupakan jalur paling dekat ke puncak namun paling menegak. Saya sampai ke base camp sekitar jam 10:00 malam dan kami disambut mesra pendaki di sana. Saya dan teman tidur percuma di base camp tersebut.

Desa Banyuroto




         Keesokan paginya kami memulakan pendakian sekitar jam 8:10 pagi selepas sarapan. Saya dan teman mengunakan khimat seorang porter yang merangkumi guide untuk ke gunung Merbabu ini. Mendaki gunung Merbabu melalui jalur Suwanting ini bermula dari Dusun Suwanting di Desa Banyuroto. Setelah membayar permit pendakian, kami mula melangkah ke pos 1 menyusuri kebun sayur-sayuran penduduk desa. Kami sampai di Pos 1 (Lemba Lempong) setelah trekking 30 minit dan di Pos 1, pokok pinus tegak berdiri memukau pandangan saya.




         Kami berehat seketika di Pos 1, dan kemudian meneruskan pendakian secara santai melalui Lemba Gosong, Lemba Cemoro, Lemba Ngrijan dan kami sampai di Pos 2 (Lemba Mitoh) sekitar jam 11:30 pagi. Kami makan tengahari di Pos 2 bersama kenalan pendaki yang baru kami jumpa semasa trekking.



       Kami kemudian meneruskan pendakian ke pos 3 sekitar jam 12:10 tengahari melalui Pos Bendera, Lemba Singo dan Lemba Manding. Memasuki Lemba Manding saya diingatkan supaya memberi salam dan dilarang merungut atau mengeluh kerana kawasan itu agak keras. Di Lemba Manding ini kami telah disambut dengan hujan yang agak lebat dan kami kemudian meneruskan pendakian melalui Hutan Manding sehingga ke Mata Air Sendang Dampo Awang di sebelah kiri jalur. Sampai di mata air ini hujan telah berhenti dan kami singgah mengambil air untuk bekalan sepanjang keperluan mendaki malam ini dan esok kerana tidak terdapat punca air di jalur Selo.




        Setelah mengisi air secukupnya, kami meneruskan pendakian ke Pos 3 (Ndampo Awang) untuk bermalam. Perjalanan dari punca air ke tapak khemah di Pos 3 cuma mengambil masa kurang 30 minit dan trek agak landai melalui padang rumput sabana yang indah. Kami sampai di Pos 3 sekitar jam 4:15 petang dan terdapat banyak khemah yang telah didirikan di sana.


Pendaki yang baru dikenali sukarela membantu mendirikan khemah kami.


        Ketika cuaca cerah, kami dapat melihat gunung Merapi dari Pos 3 ini dengan jelas. Teman saya mencadangkan kami mula mendaki sekitar jam 4:00 pagi esok untuk melihat sunrise di puncak Merbabu. Namun kerana hujan pada malam itu, tambahan pula kabus agak tebal saya enggan memulakan perjalanan seawal itu. Kami cuma memulakan pendakian sekitar jam 7:30 pagi dan cuaca masih berkabus waktu itu. Kami mendaki ke Sabana 1, Sabana 2 dan seterusnya Sabana 3 hingga sampai ke Puncak Suwanting.



       Tidak berapa jauh dari puncak Suwanting, tiba-tiba kabus berarak pergi dan saya mendengar jeritan dari pendaki di puncak Suwanting yang berteriak kegembiraan melihat dunia indah yang jelas dari tempat mereka berdiri. Cuaca bertukar cerah dan pancaran cahaya matahari menyimbah padang sabana gunung Merbabu. Dari puncak Suwanting saya melihat jelas puncak Punggung Sapi yang indah.

Puncak Punggung Sapi di hujung banjaran.




       Kami bergambar di puncak Suwanting seketika dan meneruskan perjalanan ke puncak Merbabu secara santai sambil menikmati keindahan alam ciptaan Maha Pencipta ini. Kebanyakan pendaki bergerak perlahan kerana masing-masing merakam gambar kenangan. Dari jalur ke puncak Merbabu ini saya dapat melihat kembar gunung Merbabu iaitu gunung Merapi di sebelah kanan.




Gunung Merapi




         Kami sampai di puncak Merbabu 3142 mdpl pada jam 9:10 pagi. Cuaca amat cerah dan pemandangan amat indah di mata dan di hati saya. Terdapat 2 puncak Merbabu iaitu puncak Trianggulasi dan puncak Kenteng Songo yang cuma berjarak kurang lebih 5 minit trekking.


Bergambar kenangan bersama teman baru di puncak Trianggulasi.





       Setelah merakam gambar kenangan di puncak Trianggulasi gunung Merbabu 3142 mdpl, kami bergerak ke satu lagi puncak iaitu puncak Kenteng Songo sekitar 5 minit trekking. Di puncak Kenteng Songo atau puncak Lesung Sembilan ini terdapat batu berlubang di tengahnya seperti lesung.



       Kami kemudiannya meneruskan perjalanan turun melalui jalur Selo sekitar jam 10:10 pagi. Terdapat ramai pendaki naik ke puncak melalui jalur ini. Jalur juga jelas tetapi tidak begitu curam pada pandangan saya. Pemandangan dari jalur ini memang cantik kerana melalui hutan sabana yang menghijau pada masa ini.



        Kami melalui Watu Lumpang dan padang rumput sabana. Terdapat ramai pendaki mendirikan khemah di sepanjang jalur Selo ini. Kami trekking secara santai dan banyak menghabiskan masa untuk merakam gambar.





       Tidak banyak masa rehat diperlukan semasa kami turun kerana turun secara santai tidak meletihkan tambahan pula pemandangan indah ini menyebabkan kami terus berjalan untuk melihat pemandangan seterusnya. Sekali sekala kami akan bertegur sapa jika berselisih dengan pendaki yang naik ke puncak.







       Turun dari puncak Merbabu melalui jalur Selo ini agak landai menyusuri Watu Lumpang, Sabana 2, Pos 3 Batu Tulis, Pos Kota Simpang Macan, Pos 1 Dok Malang dan akhirnya kami sampai ke pintu masuk Taman Nasional Gunung Merbabu.







        Kami sampai di Base Camp gunung Merbabu jalur Selo sekitar jam 1:30 petang. Dari sini kami menaiki lori kurang lebih 15 minit hingga ke Bandar Selo. Kami makan di bandar ini dan tidur di homestay di Selo kerana kami bercadang mendaki gunung Merapi awal pagi nanti.




Bandar Selo

Homestay di Selo.
      Gunung Merbabu memang indah di gambar tetapi lebih indah jika kita melihat sendiri. Mungkin saya akan datang ke sini lagi di lain waktu jika ada kesempatan dan rezeki. Terima kasih ALLAH.

Nota:
1- Bas dari airport ke Magelang IDR 50 ribu seorang.
2- Ojek dari Muntilan ke Blabak IDR 50 ribu seorang.
3- Ojek dari Blabak ke Base Camp Suwanting IDR 70 ribu seorang (malam)
4- Permit mendaki gunung Merbabu dari jalur Suwanting IDR 15 ribu hari bekerja, 17.500 hari libur, manakala bagi pendaki luar IDR 150 ribu seorang.
5- Porter (15 kg) dari Suwanting turun Selo IDR 250 ribu sehari.
6- Tambang lori dari Base Camp Gunung Merbabu via Selo ke bandar Selo IDR 15 ribu seorang.
7- Guide dan Porter untuk dihubungi Facebook Dwi Indriyanto (ig@INDRIYANTODWI), email 085727189769@gmail.com atau telepon 087839230300.
8- Layari website marapalam.com


Itinerary:
Hari 1- Aiport Jogjakarta ke Base Camp Gunung Merbabu via Suwanting.
Hari 2- Mula mendaki dari Base Camp 8:10 pagi, Pos1, Pos 2, Pos 3 bermalam (5-8 jam).
Hari 3- Pos 3, puncak (1.5 jam), puncak Merbabu terus keluar menyusuri jalur Selo (4 jam).


Tiada ulasan: