Selasa, 26 April 2016

Gunung Api (Pinnacles)


      Bila bercadang untuk bercuti ke Taman Negara Gunung Mulu, pasti kita terbayang kelawar yang berterbangan keluar dari gua di waktu petang, atau  Deer Cave (Abraham Lincoln) yang seperti bentuk muka dari pandangan sisi, aliran air sungai yang jernih atau Gunung Mulu. Tetapi ada lagi satu khazanah di Taman Negara Gunung Mulu yang terpahat di minda pencinta alam, iaitu Gunung Api (Pinnacles) yang menjamukan pemandangan batu kapur yang menjulang dari bumi dan jarang di dapati di Malaysia. Saya mendaki Gunung Api ini selepas turun dari Gunung Mulu pada May 2010.




       Gunung Api berjiran dengan Gunung Benarat dan Gunung Buda yang mempunyai ciri yang sama, iaitu batu kapur yang mencacak di puncak gunung dan merupakan salah satu daya tarikan pelancong ke taman negara ini. Saya bersama 8 orang teman pendaki, turun dari Gunung Mulu dan sampai di Mulu Park sekitar jam 8:50 pagi. 4 dari kami pulang ke Semenanjung manakala saya dan 4 orang lagi teman meneruskan pendakian ke Gunung Api. Setelah berehat dan makan tengahari, kami menaiki bot pada pukul 1:00 tengahari menyusuri Sungai Melinau sehingga ke Kuala Litut. Disebabkan air sungai yang cetek, kami terpaksa menolak bot di sesetengah bahagian sungai.







         Setelah menyusuri sungai lebih 1 jam kami sampai ke Kuala Litut dan dari sini kami berjalan kaki ke Kem 5 yang berjarak kurang lebih 8 km. Trek ke Kem 5 agak landai dan setelah trekking hampir 2 jam kami sampai di Kem 5 dan melaporkan diri. Kami diperkenalkan kepada pemandu arah yang akan menemani kami ke Gunung Api esok. Kem 5 terletak di tepi sungai dan terdapat bangunan asrama yang agak selesa untuk bermalam. Kemudahan seperti tandas, dapur dan gas untuk memasak juga disediakan.


Kuala Litut

Kem 5




      Petang itu kami cuma bersiar-siar di sekitar Kem 5. Ramai pelancong dan pendaki lebih suka mandi di sungai walaupun kemudahan tandas dan bilik air disediakan, mungkin mereka ingin merasai dan bersatu dengan alam yang damai.






        Setelah mendengar sedikit taklimat dari pemandu arah tentang persediaan, keperluan dan syarat mendaki Gunung Api (Pinnacles), kami masak dan makan malam di wakaf tepi sungai. Kemudian kami berehat dan tidur awal kerana pendakian ke Gunung Api akan bermula seawal 7:00 pagi.


         Pagi itu kami bangun seawal 6:00 pagi dan selepas sarapan kami mula mendaki ke Gunung Api sekitar jam 6:45 pagi. Gunung Api hanya didaki dalam satu hari dan anggaran masa normal adalah 6 hingga 8 jam pergi dan pulang dari Kem 5. Pendaki mesti sampai di tangga terakhir pada masa yang telah ditetapkan oleh pihak taman negara dan sekiranya lewat dari waktu yang disyaratkan pendaki harus turun dan tidak dibenarkan meneruskan pendakian ke puncak. Saya dan teman-teman sampai di Gunung Api (Pinnacles) 2376 meter pada pukul 10:10 pagi. Hati sangat teruja bila sampai di puncak dan melihat batu kapur yang mencacak di atas gunung. Walaupun saya pernah melihat taman Pinnacles yang lebih besar dan banyak di Kumming China semasa melawat di sana, namun pinnacles di Gunung Api ini membuat saya terpukau kerana ia terletak di puncak gunung.



Pendaki mesti sampai di sini paling lewat jam 11:00 pagi.







        Setelah berehat dan merakam gambar hampir satu jam di puncak, kami mula turun ke Kem 5 dan sampai di sana sekitar jam 2:00 petang. Petang itu kami habiskan masa berehat sambil masak di tepi sungai. Malam itu kami tidur agak lewat sambil bercerita dan merawat kaki yang sakit setelah mendaki Gunung Mulu dan Gunung Api dalam 1 minggu.
        Keesokkan paginya selepas sarapan kami mula trekking pulang pada jam 8:00 dari Kem 5 ke Kuala Litut di mana bot telah dijanjikan untuk menjemput kami. Trekking pulang ke Kuala Litut (8 km) cuma mengambil masa sekitar 1 jam lebih. Sampai di Kuala Litut bot telah sedia menunggu walaupun kami sampai awal dari masa yang dijanjikan. Seperti kedatangan kami tempoh hari ke Kem 5, menyusuri Sungai Melinau yang cetek memaksa kami menolak bot.






         Dalam perjalanan pulang ke Mulu Park kami singgah melawat Gua Clear Water dan Gua Angin. Seperti kata pencinta alam, tidak sah jika ke Taman Negara Gunung Mulu jika tidak mengunjungi gua-gua di sana. Terima kasih ALLAH.



Jumaat, 22 April 2016

Gunung Mulu

        Mengimbau kembali perjalanan mendaki Gunung Mulu mengingatkan saya kepada seorang teman yang sama mendaki gunung ini pada tahun 2010. Dia seorang teman yang sangat cintakan gunung dan menghembuskan nafas terakhirnya juga ketika sedang mendaki salah sebuah gunung di Sabah. Kami bersama mendaki Gunung Mulu ini pada May 2010 dan ini merupakan kali ke 3 dia ke sini. Gunung Mulu terletak di Taman Negara Gunung Mulu di sebelah timur negeri Serawak dan ia diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO.


        Hari pertama, kami sampai ke Taman Negara Gunung Mulu dengan pesawat Maswing dari Miri sekitar jam 3:00 petang. Setelah melaporkan diri di Mulu Park kami diperkenalkan kepada guide yang akan membawa kami mendaki Gunung Mulu nanti. Disebabkan kami tiba petang, perjalanan tidak dapat diteruskan pada hari ini dan kami menghabiskan petang itu bersiar-siar di sekitar taman negara.



        Hari kedua, selepas sarapan kami berkumpul di Mulu Park dan mula berbincang kerana jadual perjalanan kami bertindan dengan sekumpulan pendaki dari University Malaysia Serawak (Unimas) di beberapa kawasan kem. Masalah akan timbul jika kami bertembung di kem yang sama untuk bermalam kerana setiap kem hanya boleh menampung kurang dari 20 orang pendaki. Setelah menjadualkan semula rencana pendakian, kami memulakan perjalanan ke Kem 1 sekitar jam 10:30 pagi. Trek landai dan kami bergerak santai sehingga sampai di sebatang sungai yang jernih. Di sini kami berehat dan makan tengahari.








        Kami sampai di Kem 1 pada pukul 1:50 tengahari dan kami bermalam di sini kerana perjalanan tidak dapat diteruskan ke Kem 3 disebabkan Kem 3 hanya boleh memuatkan seramai 15 orang peserta dan kem tersebut telah dijadualkan untuk pendaki dari kumpulan pelajar Unimas. Di Kem 1 terdapat sebuah pondok yang terletak di tepi sungai dan menyediakan kemudahan asas seperti paip air, tempat memasak dan tandas. Petang itu setelah makan malam kami tidur awal untuk merehatkan badan secukupnya kerana kami akan memulakan pendakian di awal pagi setelah jadual perjalanan dirombak mengikut masa yang sesuai.


Pondok di Kem 1



         Hari ketiga kami bangun seawal jam 2:00 pagi, setelah makan kami memulakan pendakian ke Kem 2 pada pukul 3:15 pagi. Kami sampai di Kem 2 setelah 1 jam trekking dan di sini tiada pondok untuk bermalam tetapi terdapat anak sungai sebagai punca air. Seterusnya kami menuju ke Kem 3 yang lebih mencabar kerana trek pendakiannya yang curam dan melalui laluan berbukit. Kami sampai di Kem 3 pada pukul 7:50 pagi. Kami berehat dan bersarapan di sini. Di kem 3 terdapat pondok yang boleh memuatkan pendaki seramai 15 orang dalam satu masa dan punca airnya adalah tangki air hujan tadahan. Kami kemudiannya meneruskan pendakian ke Kem 4 dan sampai di sana sekitar jam 2:15 petang. Seperti juga di Kem 3, punca air di Kem 4 adalah tangki dari air hujan tadahan. Kami bermalam di sini.

Pondok di Kem 3


Pondok di Kem 4


        Hari keempat kami memulakan pendakian ke puncak seawal jam 3:20 pagi. Laluan ke puncak agak becak dan trek menegak melalui tebing curam yang memaksa saya berpaut pada akar pokok di sesetengah jalur. Pada pukul 5:50 pagi saya terdengar suara azan dari seorang teman dan saya pasti dia telah sampai di puncak kerana itulah rutin dia sebagai pendaki setiap kali dia sampai di puncak.



        Saya sampai di puncak Gunung Mulu 2376 mdpl pada pukul 6:00 pagi . Gunung Mulu merupakan gunung kelima tertinggi di Malaysia dan kedua tertinggi di Serawak. Kami menghabiskan masa agak lama di puncak ini sambil menyaksikan panorama yang semakin jelas. Dari puncak Mulu ini saya dapat melihat Gunung Api (Pinnacles).






Tulis nama dalam buku di puncak Gunung Mulu




       Setelah berpuas hati kerana sampai juga ke puncak Mulu walaupun jadual diubah di saat akhir, kami semua sepakat turun ke Kem 4 setelah berehat lama di puncak Gunung Mulu dan sampai di Kem 4 sekitar jam 9:30 pagi. Kami sarapan di Kem 4 dan meneruskan perjalanan turun pada pukul 10:30 pagi. Kami sampai di Kem 3 sekitar jam 3:00 petang.


Kem 3.
        Kami menunggu peserta terakhir di Kem 3 sebelum meneruskan perjalanan ke Kem 2. Menurut guide, sekiranya kami sampai ke Kem 1 sebelum pukul 6:00 petang, kami dibenarkan terus turun ke Mulu Park. Dari kem 3 ini saya menemani seorang teman yang berjalan di belakang. Dia kelihatan agak lemah dan bergerak agak perlahan. Kami berdua ditemani 2 orang guide sampai di Kem 2 sekitar jam 8:00 malam. Kami berehat seketika di Kem 2 dan kemudian meneruskan perjalanan turun ke Kem 1 dan sampai di sana jam 12:00 tengah malam. Semasa kami sampai semua teman pendaki sedang menunggu dengan muka yang kelihatan bimbang. Ini bermakna saya telah menempuh perjalanan selama 21 jam. Kami tidur di Kem 1 dan keesokan paginya kami bertolak awal ke Mulu Park kerana ada teman yang akan berlepas pulang ke Miri pada pukul 10:25 pagi dan kami akhirnya sampai di Mulu Park sekitar jam 8:50 pagi. Pagi itu 3 orang dari kami meneruskan perjalanan pulang ke Miri, seorang lagi pulang penerbangan waktu petang dan saya bersama 4 lagi teman pendaki meneruskan perjalanan menaiki bot ke Kem 5 untuk mendaki Gunung Api (Pinnacles). Terima kasih ALLAH.


Nota:
1- Penerbangan Maswing dari Miri ke Taman Negara Gunung Mulu dijadualkan setiap hari.
2- Penerbangan dari Kuching ke Taman Negara Gunung Mulu pada hari-hari tertentu tertakluk pada jadual penerbangan.
3- Laluan lain ke Taman Negara Gunung Mulu adalah menaiki bot express dari Kuala Baram, Miri ke Marudi dan seterusnya ke Taman Negara Gunung Mulu (sekitar 12 jam).
4- Pendakian ke Gunung Mulu memerlukan Penunjuk Arah (Guide) berlesen.
5- Tempahan tempat bermalam untuk Kem 1, Kem 3 dan Kem 4 perlu dibuat melalui Mulu Park dan tempahan boleh dibuat di email enquiries@mulu park.com
6- Jumlah peserta setiap kumpulan adalah terhad iaitu 10 hingga 15 orang.

Cadangan Itinerary:
1- Hari pertama Mulu Park ke Kem 3.
2- Hari kedua Kem 3 ke Kem 4.
3- Hari ketiga Kem 4 ke puncak ke Kem 3.
4 -Hari keempat Kem3 ke Mulu Park.