Rabu, 10 Februari 2016

Gunung Murud

       Ba'Kelalan yang terkenal dengan penanaman epal di Malaysia dan Bario pula terkenal dengan beras bukit, merupakan 2 tempat yang menjadi idaman saya untuk menjejakkan kaki di sana. Xpdc menawan puncak Gunung Murud merealisasikan impian saya. Gunung murud 2423 mdpl merupakan gunung keempat tertinggi di Malaysia dan tergolong dalam "Big 5" di kalangan pendaki Malaysia. "Big 5" bermakna 5 puncak tertinggi di Malaysia dan kelima-lima gunung ini terletak di Sabah dan Serawak (Borneo). Xpdc seramai 11 orang ini diketuai oleh Encik Deeno pada Oktober 2009, bermula dari Ba'Kelalan ke puncak Gunung Murud dan berakhir di Bario. Gunung Murud terletak di Taman Negara Pulong Tau di Tanah Tinggi Kelabit, Serawak.


       Perjalanan bermula dari Miri setelah kami bemalam di bandar ini. Kami menaiki pesawat (Twin Otter) Mas Wing ke Ba'Kelalan dan penerbangan ini singgah sebentar di Lawas untuk menurun dan mengambil penumpang.


Airport Lawas.
         Setelah sampai di Ba'Kelalan kami berehat sebentar di rumah Pak Tagal di Apple Lodge, sementara Deeno berbincang dengan pemandu  4WD dan Pak Baru selaku guide. Pak Tagal terkenal sebagai penanam epal, namun semasa kami ke sini bukan musim epal, jadi kami tidak melawat ladangnya.

Bersama teman pendaki di airport Ba'Kelalan

Bersama Pak Tagal.
         Setelah semuanya bersedia, kami memulakan xpdc Gunung Murud ini dengan menaiki 2 buah 4WD ke Lepo Bunga. Perjalanan mengambil masa hampir 2 jam dan setelah sampai di Lepo Bunga, kami berehat dan makan tengah hari. Pukul 3:00 petang kami memulakan trekking ke Kem Gereja di mana kami akan menginap untuk malam ini.


         Trekking ke Kem Gereja mengambil masa hampir 4 jam dan trek tidak sukar, mungkin kerana trek ini sering digunakan penduduk tempatan untuk ke Kem Gereja setiap kali upacara keagamaan diadakan di sana. Menurut guide setiap keluarga mempunyai sebuah rumah di Kem Gereja dan penganut kristian Lun Bawang telah membina pelantar papan ke Kem Gereja untuk memudahkan perjalanan mereka ke sana. Majlis keagamaan diadakan setiap tahun pada bulan July. Setelah berjalan kurang lebih 2 jam kami sampai di pelantar papan ini, sebahagian pelantar ada yang telah rosak dan kami menitinya hampir 2 jam untuk ke Kem Gereja. Kami sampai di Kem Gereja hampir pukul 7:00 malam bertemankan lampu picit memandangkan waktu malam di sini lebih awal dari Semenanjung. Keesokan paginya barulah kami melihat pemandangan di Kem Gereja.




Puluhan rumah di Kem Gereja.

Pak Baru dan porter.
          Di Kem Gereja kami bermalam di rumah Pak Baru. Hari kedua pendakian, kami "daypack" ke puncak Murud dan perjalanan bermula sekitar jam 8:00 pagi setelah selesai sarapan. Perjalanan agak santai kerana kami bergerak berkumpulan sambil bersembang dan bercerita. Trek agak basah dan kami menyusuri anak sungai sekali sekala hingga ke Kebun Batu. Air di anak sungai sangat jernih tetapi saya merasa agak hairan kerana terdapat banyak buih di sungai ini. Dari mana dan apa punca buih ini tidak dapat saya pastikan.

Air sungai yang dipenuhi buih putih.




           Kami berjalan sehingga ke Kebun Batu, dan menurut seorang teman saya, meteor pernah jatuh di kawasan ini satu masa dahulu. Di Kebun Batu, bentuk batunya ada yang menyerupai binatang dan kami merakam gambar, berehat dan makan tengah hari di sini.





           Setelah berehat agak lama di sini, Pak Baru mengajak kami meneruskan pendakian ke puncak Murud kerana katanya perjalanan masih jauh. Namun setelah mendaki hampir 30 minit, kami sampai di puncak Murud 2423 mdpl pukul 12:00 tengah hari. Suara sorakan bergema dan kami merakam gambar kenangan dan kejayaan di puncak ini dengan berbagai kejadian lucu yang dicetuskan oleh Pak Baru. Selama sejam di puncak, bergambar dengan berbagai gaya dan cerita, kami kemudiannya bergerak turun dan sampai di Kem Gereja pada pukul 4:10 petang.


Gambar kenangan semua peserta.
 
   

         Hari ketiga trekking kami bermula sekitar jam 9:00 pagi selepas sarapan. Tujuan hari ini adalah ke Long Repung untuk bermalam. Di pertengahan jalan kami menyimpang sedikit dari laluan, tujuannya adalah untuk ke Batu Linanit. Di Batu Linanit ini kita boleh melihat pemandangan dan Batu Lawi dengan jelas.


Dua puncak di kiri itu Batu Lawi.
        Setelah bergambar di Batu Linanit, kami meneruskan perjalanan turun menuju ke Long Repung. Menuruni trek dari Batu Linanit agak mencabar kerana kecuramannya hampir 85 darjah. Kami berjalan turun sehingga berjumpa semula pelantar papan yang juga digelar jambatan sukacita oleh penduduk tempatan. Dalam perjalanan ke Long Repung, kami singgah makan tengah hari di tapak perkhemahan Pa'Balaban di tepi sungai Balaban.


         Kami tiba di sebuah pondok di Long Repung kurang lebih pada pukul 5:00 petang. Pondok ini terletak di sempadan Malaysia dan Indonesia, menjadi kepunyaan 2 negara dan berkhidmat untuk rakyat 2 negara juga. Ada sebatang sungai berhampiran pondok ini dan teman pendaki yang membawa jaring cuba memasangnya, tetapi air sungai yang deras telah menghanyutkan jaringnya malam itu. Hari keempat xpdc, kami ke Bario, perjalanan bermula selepas sarapan sekitar jam 9:00 pagi. Hari ini kami mendaki dan menuruni banyak bukit, melalui paya selepas bukit terakhir amat meletihkan tambahan pula terdapat banyak pacat di sepanjang xpdc. Di pertengahan jalan kami singgah di Pa'Lungan sekitar jam 1:00 petang. Kami berehat agak lama di kampung ini, tambahan pula Deeno yang sudah beberapa kali ke Gunung Murud kenal seorang guide di kampung ini.




Rumah di kampung Pa'Lungan.





Bersama porter


          Sekitar jam 2:30 petang kami meneruskan perjalanan ke Bario. Perjalanan ke Bario agak mendatar tetapi amat memenatkan bila melayan trek balak, tambahan pula hujan turun lebat petang itu. Sampai di Pa'Ukat kami merasa lega kerana kurang lebih 1 jam kami akan sampai ke perkampungan Bario. Setelah berjalan di dalam hujan lebat, kami sampai di Mustafa Lodge di Bario sekitar jam 7:00 malam.


           Keesokan paginya kami hanya berehat dan bersiar-siar di Bario yang bukan sahaja terkenal dengan beras dan garam bukitnya, tetapi juga penanaman nenas manisnya. Bario juga dikatakan terkenal dengan anak daranya yang berkulit putih. Penduduk Bario sangat ramah dan setiap kali kami berjumpa mereka di jalan, mereka mengajak kami singgah dan bermalam di rumah mereka. Saya bercadang ke sini lagi di masa akan datang jika ada rezeki. Menurut cerita penduduk di Bario, sekiranya hujan lebat, ada orang mendaki Gunung Murud dan jika hujan tidak berhenti, ini bermakna ada orang yang telah menukup atau menebalikkan periuk kera. Namun kesahihan teori ini tidak dapat dipastikan.

Pak Baru dan porter berangkat pulang ke Ba'Kelalan.

Permandangan sekitar kampung Bario.


Rumah panjang di Bario.
        Hari kedua di Bario kami berangkat pulang ke Miri sekitar jam 11:00 pagi menaiki Mas Wing. Kami sempat membeli belah di Miri sementara menunggu penerbangan ke Kuala Lumpur yang dijadualkan malam. Xpdc Gunung Murud mencatat kenangan indah dalam sejarah pendakian saya. Segala cerita dan jenaka sepanjang xpdc terpahat kukuh diingatan sepanjang hayat. Terima kasih Allah.

Itinerary:
Day 1
08:00 Miri ke Ba'kalalan (Twin otter).
10:00 Sampai Ba'kalalan, berehat dan bersedia untuk mendaki.
12:00 Berangkat ke Lepo Bunga (4WD)
14:00 Sampai Lepo Bunga, makan tengahari.
15:00 Mula trekking ke Kem Gereja.
19:00 Sampai Kem Gereja, bermalam.
Day 2
08:00 Daypack ke puncak Gunung Murud.
10:30 Makan tengahari di Kebun Batu.
11:30 Meneruskan pendakian.
12:00 Sampai puncak Gunung Murud.
13:00 Mula turun ke Kem Gereja.
16:10 Sampai Kem Gereja, bermalam.
Day 3
09:00 Mula trekking ke Long Repong.
10:00 Singgah di Batu Linanit.
12:00 Makan tengahari di tapak perkhemahan Pa'balalan.
17:00 Sampai Long Repung, bermalam.
Day 4
09:00 Mula trekking ke Bario.
13:00 Singgah di Pa'lungan.
14:30 Meneruskan trekking ke Bario.
18:00 Sampai Pa'ukat.
19:00 Sampai Bario, bermalam.
Day 5
Berehat dan bersiar di sekitar perkampungan Bario.
Day 6
Berangkat pulang ke miri.

Nota:
1- Tiada bayaran pendaftaran dikenakan untuk ke Gunung Murud dan ke Taman Negara Pulong Tau.
2- Sediakan pakaian pelindung pacat seperti leech sock, spray serangga dan crime luka.


2 ulasan:

Rahillah Musnadi berkata...

assalammualaikum...
saya tertarik dengan perjalanan kalian.. boleh dapatkan contact person incharge gunung murud?

Jurimah Ariffin berkata...

wsalam. saudari boleh hubungi ketua team kami semasa mendaki gunung ini iaitu encik denno di talian 012 6294083. terimakasih kerana membaca blog saya.