Rabu, 14 Oktober 2015

Gunung Rinjani Lombok

       Gunung Rinjani merupakan gunung berapi ke dua tertinggi di Indonesia dan tertinggi di Pulau Lombok dan sangat popular di kalangan pendaki tempatan mahupun pendaki luar negara. Termasuk dalam kiraan G7 Indonesia dan memenangi tempat pertama tercantik di hati pendaki.



       Dengan ketinggian 3726 mdpl, kita bisa melihat panorama hebat ciptaan yang Maha Agung. Saya bersama 4 orang teman ke sini pada July 2010. Kami mendaki selama 4 hari 3 malam atas nasihat guide melalui jalur Sembalun Lawang dan mengakhirinya di pintu masuk Senaru.


        Bermula pada pukul 10 pagi, kami mendaki secara santai memandangkan trek agak landai. Di permulaan trek kami melalui kebun sayur-sayuran penduduk kampung, kami kemudiannya melalui hutan savana.

Pintu Sembalun Lawang


          Kami singgah di Pos 1 untuk berehat seketika dan meneruskan perjalanan membelah savana hingga ke Pos 2 untuk makan tengahari. Setelah makan dan berehat kurang lebih 1 jam, kami meneruskan trekking ke Kem Plawangan untuk malam pertama.

Pos 1
Trek savana

Jalur ke Pos 2
         Akhirnya kami sampai di tapak khemah Plawangan kurang lebih pukul 6:00 petang. Selesai makan malam kami berehat dan tidur dalam cuaca yang amat sejuk.

Puncak Rinjani dari Plawangan

Kem Plawangan
        Kami meneruskan pendakian ke puncak Rinjani awal pagi hari kedua pada pukul 2:30 pagi untuk melihat sunrise. Namun saya bergerak lambat kerana jalur pasir yang mengelonsor. Trek ke puncak dikenali sebagai trek "3 in 1" yang bermaksud 3 langkah ke atas akan mengelunsur 1 langkah ke bawah.



        Saya sampai ke puncak Rinjani pada pukul 7:40 pagi. Pemandangan Danau Segara Anak jelas kelihatan dari puncak dan sungguh mengujakan. Kami merakam gambar kenangan di tempat tertinggi di Pulau Lombok dan meneruskan perjalanan turun kurang lebih 40 minit kemudian.





          Sampai di Plawangan, makan tengahari telah tersedia dan selesai makan kami bersiap sedia untuk turun ke Danau Segara Anak secara santai. Kami sampai di tapak khemah Danau Segara Anak kurang lebih pada pukul 4:00 petang. Kami kemudian dibawa mandi di air panas yang berada tidak berapa jauh dari tapak khemah.



        Keesokan paginya kami bergerak agak lewat kerana tempat bermalam untuk malam ke 3 ini tidak berapa jauh. Dari Danau Segara Anak kami terpaksa mendaki tebing tinggi untuk trek ke jalur Senaru. Memang penat mendaki tebing tinggi ini tambahan pula terdapat banyak najis di serata tempat yang amat meloyakan, namun pemandangan sangat indah sehingga tidak dapat diceritakan.

Bersama pendaki anak tempatan di Danau Segara Anak


Gunung baru atau pun Barujari di tengah Danau Sagara Anak.
         Sampai di atas tebing tinggi, kami meneruskan trekking melalui jalur savana hingga ke hutan Senaru tempat kami berkhemah untuk malam ke 3, trek menurun dan agak santai.


Pokok Edelweiss
        Di pertengahan jalan kami singgah di pos 2 untuk makan tengahari dan kemudian kami meneruskan perjalanan ke pos 1 untuk bermalam. Keesokan paginya kami bergerak turun pada pukul 8.00 pagi dan sampai di pintu masuk hutan Senaru pukul 10.00 pagi.

Bersama guide dan porter


        Setelah berihat dan minum di kedai makan yang terdapat di pintu masuk Senaru, kami bergerak turun ke tempat kenderaan menunggu. Di sini terdapat air terjun Sendang Gila yang cantik untuk bermandi-manda.




Nota:
1- Takrif permit untuk mendaki ke Gunung Rinjani telah dinaikan pada 2014. (sila check    dengan pihak Taman Negara Rinjani untuk takrif harga terbaru).
2- Gunung ini dicadangkan didaki 3 hari 2 malam.(terpulang kepada kemampuan pendaki)
3- Dicadangkan mendaki dari jalur Sembalum Lawang kerana jalur ini lebih landai.
4- Membawa kelengkapan mendaki seperti headlamp, raincoart, baju sejuk dan lain-lain keperluan peribadi.
5- Bateri spare, crime muka, vitamin, ubat dan coklat.

     




Tiada ulasan: