Isnin, 15 Jun 2015

Gunung Semeru

          Gunung Semeru secara geografinya terletak di wilayah 2 kabupaten iaitu kabupaten Malang dan kabupaten Lumajang. Puncak gunung Semeru iaitu Mahameru 3676 mdpl merupakan puncak tertinggi di Pulau Jawa, dan  gunung ini termasuk dalam Taman Negara Tengger Semeru.


      Saya bersama 2 rakan mendaki gunung ini pada 22 may 2015. Perjalanan kami ke sini bermula dari Surabaya Airport, menaiki kereta sewa menuju Tumpang. Perjalanan mengambil masa kurang lebih 4 jam dan 2 anak surabaya menjadi peneman kami dalam trip ini. Di pertengahan jalan ke Tumpang kami singgah di Masjid Muhammad Cheng Hoo.


          Di Tumpang, kami membuat persediaan akhir untuk mendaki, di mana barang-barang yang tidak diperlukan kami tinggalkan di rumah kenalan teman kami. Kemudian kami membeli sedikit makanan dan berbincang tentang trip mendaki Gunung Semeru. Memandangkan bayaran mendaki Gunung Semeru melonjak harganya bagi pendaki luar negara, trip yang sebaiknya dilangsungkan selama 4 hari 3 malam terpaksa dipendekkan kepada 3 hari 2 malam untuk menjimatkan kos.


Nilai bayanan untuk mendaki Gunung Semeru
       Setelah siap semua persiapan kami bertolak ke Ranupane dengan menaiki sebuah jeep yang di sewa pada pukul 9:00 malam dan kami sampai di sana kurang lebih pukul 10.30 malam. Kami menumpang tidur di rumah pengawal Taman Negara Semeru kerana teman kami kenal rapat dengan pengawal Taman Negara. Keesokan paginya sebelum sarapan kami bersiar di dua danau yang terdapat di Ranupane, iaitu Danau Ranupane dan Danau Ranu Regulo.


Danau Ranupane
       Setelah sarapan, mendengar taklimat oleh Pengawal Taman Negara Semeru Tengger dan membuat bayaran ke pejabat Taman Negara, kami memulakan trekking ke Ranu Kumbolo untuk malam pertama. Perjalanan hari pertama dianggarkan mengambil masa kurang lebih 4 jam secara santai. Kami start trekking pada pukul 10:00 pagi.


       Di awal trekking jalur agak landai dan kami sampai di Pos 1 pada pukul 11:30 pagi. Di Pos 1 ada pondok tempat berehat dan ada penjaja yang menjual buah dan kuih.

Trek ke Pos 1

Pos 1
       Setelah berehat setengah jam, kami meneruskan trekking ke Pos 2, dan setelah berjalan 20 minit di jalur yang landai, kami sampai di pos 2 pada pukul 12:20 tengahari.

Pos 2
        Kami berehat di Pos 2 selama 10 minit dan meneruskan trekking ke Pos 3. Setelah trekking selama 50 minit kami sampai ke Pos 3 kurang lebih pada pukul 1:20 petang.


Pos 3
      Kami berehat di Pos 3 selama 15 minit dan meneruskan trekking ke Pos 4. Di Pos 4 kami berehat agak lama kerana di Pos 4 ini kami mula dijamukan dengan pemandangan indah Danau Kumbolo.

Danau Kumbolo 

Letusan di Puncak Mahameru dapat dilihat dari Pos 4
        Kemudian kami meneruskan trekking turun ke Danau Kumbolo untuk bermalam. Kami sampai di tapak khemah kurang lebih pada pukul 2:45 petang.


Pemandangan Danau Kumbolo dari depan khemah.

Pendaki berehat sambil melihat keindahan Danau Kumbolo
       Suhu di Danau Kumbolo 2400 mdpl amat sejuk di waktu malam sehingga embun di rumput menjadi "frost". Kami dikejutkan oleh teman mendaki seawal jam 4:15 pagi untuk menyaksikan keindahan matahari terbit.

Sunrise di Danau Kumbolo





Embun di rumput frost kerana suhu rendah di waktu malam.
        Hari ini kami mengambil masa agak lama di Danau Kumbolo, menyaksikan keindahan alam, berkenal-kenalan dengan pendaki lain dan bergambar. Hari kedua ini kami akan bergerak dari kem Danau Kumbolo ke Kem Kalimati dan perjalanan dijangka mengambil masa 4 jam secara santai. Kami mula trekking sekitar jam 9:50 pagi dan dalam perjalanan dari Danau Kumbolo ke Cemero Kandang, kami membelah padang yang di penuhi bunga Verbena Brasiliensis Vell yang berwarna ungu seperti bunga Lavender.


Padang bunga Verbena Brasiliensis Vell yang bewarna ungu


        Kami sampai di Cemaro Kandang 2500 mdpl dalam pukul 10:25 pagi dan setelah berehat di sini selama 30 minit, kami meneruskan perjalanan ke Jambangan 2600 mdpl. Trek agak mendatar dan di Jambangan kami berehat selama 1 jam. Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Kalimati dan sampai di sana pada pukul 2:00 petang.


Trek ke Jambangan

Berehat onway ke Jambangan.

Puncak Semeru jelas kelihatan dari Jambangan.


Tapak khemah luas terbentang di Kalimati.
       Di Kalimati 2700 mdpl kami mendirikan khemah dan menyediakan makan malam. Kami sampai awal untuk merehatkan badan bagi persediaan mendaki puncak Semeru tengah malam nanti. Malam di Kalimati kami tidak dapat tidur lena kerana cuaca yang sejuk tetapi kami mempunyai cukup masa untuk berehat. Pukul 11:00 malam kami bangun untuk makan sebelum mendaki dan setelah bersedia kami mula mendaki pada pukul 11:45 tengah malam.





        Menuju ke puncak Semeru sememangnya menguji tahap keupayaan fizikal dan mental. Pasir gelonsor umpama "3 in 1" kata teman penjaga Taman Negara Semeru menyebabkan kita melangkah 3 langkah ke atas namun mengelonsor selangkah ke bawah. Pada pendapat saya pendaki harus mempunyai rehat yang cukup jika mahu menuju puncak kerana trek ke puncak agak mencabar. Kami sampai di Puncak Semeru yang dikenali Mahameru 3767 mdpl kurang lebih pukul 6:30 pagi.


Kawah Jonggring Saloko di Puncak Mahameru yang meletus setiap kurang lebih 20 minit.




       Kami berehat di Puncak Mahameru agak lama kerana menunggu Kawah Jonggring Saloko meletus setiap kurang lebih 20 minit untuk merakam gambar. Setelah puas bergambar kami bergerak turun ke Kalimati pada pukul 8:15 pagi. Kami turun secara mengelonsor bagi mempercepatkan perjalanan dan kami sampai di Kalimati pada pukul 10:15 pagi. Setelah makan (disediakan oleh porter), kami tidak terus turun. Kami terus merehatkan badan dan saya mengambil peluang untuk tidur. Kami mula turun pada pukul 1:00 tengahari dan sampai di Ranu kumbolo pada pukul 4:00 petang. Kami berehat di sini agak lama dan pada pukul 5:30 petang kami meneruskan perjalanan turun ke Ranupane dan sampai di sana pada pukul 8:30 malam. Malam itu kami menyewa bilik di Ranupane untuk bermalam dan bangun pada pukul 2:00 pagi untuk berkemas dan meneruskan perjalanan ke Gunung Bromo. Kami menaiki jeep yang telah di sewa ke Gunung Bromo pada pukul 3:00 pagi dan sampai di sana dalam pukul 4:45 pagi untuk menyaksikan keindahan matahari terbit.

Gunung Bromo belatar belakang gunung Semeru yang sedang meletus

Gunung Bromo


        Setelah melawat Gunung Bromo, kami sarapan di kaki gunung dan meneruskan perjalanan ke Pasir Berbisik. Batu Singa dan ke Bukit Talitubis.


Batu Singa

Pasir Berbisik


Bukit Talitubis
       Kami kemudiannya meneruskan perjalanan ke Tumpang dan makan tengahari di sana. Dalam perjalanan ke Tumpang kami singgah di tepi jalan untuk membersihkan diri.




       Sampai di Tumpang kami kemudiannya mengambil barang yang ditinggalkan di rumah teman dan pada pukul 11:00 pagi kami meneruskan perjalanan pulang ke Surabaya. Dalam perjalanan ke surabaya kami singgah di kampung yang ditengelamkan Lumpur Lapindo.




Nota:
1- Bayaran masuk ke Taman Negara Semeru Tengger bagi pendaki luar adalah 217.500 rupiah (hari kerja) dan 317.500 rupiah (hari libur)
2- Bayaran masuk ke Kampung Lumpur Lapindo adalah 10.000 rupiah setiap orang.
     



Tiada ulasan: