Selasa, 1 Mei 2018

Sri Lanka dan menjejaki tapak kaki misteri



Salah satu sebab utama mengapa saya ke Sri Lanka adalah kerana ingin mendaki Adam Peaks dan melihat tapak kaki misteri di puncak gunung ini. Maka pada awal April 2018 saya dan 6 orang teman merancang mendaki ke sana sambil menjelajah sebahagian tengah Pulau Sri Lanka ini. Perjalanan kami bermula dari Airport Bandaranayake menuju ke Sigiriya dengan menaiki van sewa yang mengambil masa sekitar 5 jam. Kami singgah sebentar di tepi jalan untuk merasai kemanisan buah nenas tempatan dan pemandu van bermurah hati menjamu kami sebelum perjalanan jauh ini diteruskan. Kemudian kami singgah makan tengahari di Muslim Hotel dalam perjalanan ke Sigiriya ini. Sigiriya terkenal dengah bongkah batu besar yang dikenali sebagai Lion Rock. Sebelum sampai ke Sigiriya, kami singgah lagi di pinggir jalan untuk melihat activity gajah mandi.



Lion Rock
Kami tidak mendaki ke puncak Lion Rock ini kerana agak lewat dan perjalanan harus diteruskan ke bandar Kandy untuk bermalam. Ticket masuk ke Lion Rock ini adalah Usd 30 dan masa yang diperlukan untuk melawat Lion Rock ini sekitar sejam setengah hingga dua jam. Memandangkan ajaran Buddha merupakan amalan terbesar penduduk Sri Lanka, maka Lion Rock juga merupakan tempat ibadat bagi pengikut ajaran Buddha. Kemudian kami meneruskan perjalanan ke bandar Kandy dan singgah sebentar di Nambulla Cave. Ticket masuk ke Dambulla Cave adalah Usd 10 dan menurut pemandu van, pengunjung harus membuka tudung di kepala, menyinsing lengan baju hingga ke bahu dan melipat kaki seluar hingga ke paras lutut tanda hormat bila mengunjungi tempat ibadat ini. Kami cuma melihat Dambulla Cave dari dalam van dan meneruskan perjalanan ke bandar Kandy. Dalam perjalanan ke Kandy kami dibawa melawat ke Taman Spice & Herba. Kami singgah agak lama di sini kerana layanan dan penerangan yang diberikan oleh guide di taman ini agak menarik. Kami sampai di Kandy awal malam. Kandy merupakan ibu kota Sri Lanka satu masa dahulu.




Hari kedua kami sarapan di Muslim Hotel di Bandar Kandy. Tidak sukar mencari makanan halal di Sri Lanka kerana terdapat ramai orang tempatan yang beragama Islam dan di mana-mana sahaja di Sri Lanka mudah terjumpa masjid. Selepas sarapan kami dibawa ke atas bukit di Bandar Kandy dan dari spot pemandangan ini kami berpeluang melihat Bandar Kandy, Patung Buddha besar dan Tasik Kandy. Di Kandy juga terdapat Temple of the Tooth iaitu tempat suci mengikut Buddha. Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Nuwara Eliya menyusuri jalan di University Peradeniya. Kami singgah sebentar di pinggir jalan kerana terdapat sepohon pokok tua yang berusia lebih seratus tahun untuk bergambar. Pokok yang mempunyai dahan yang melingkar dan bercabang banyak ini dikenali sebagai pokok "giant javan fig tree".



Kami meneruskan perjalanan ke Nuwara Eliya dan perjalanan keseluruhannya membelah kawasan ladang teh. Sri Lanka merupakan pengeluar Teh Ceylon terbesar di dunia. Kami singgah di sebuah kilang teh dalam perjalanan di hari kedua ini. Sepanjang jalan ke Nuwara Eliya kami melintasi beberapa buah air terjun.






Kami sampai di Nuwara Eliya sekitar jam 2:00 petang dan makan tengahari di Restaurant Indian Summer berhadapan Tasik Gregory. Selepas makan kami menaiki van menuju ke Mount Pedro atau Gunung Piduruthalagala. Gunung tertinggi di Sri Lanka ini tidak boleh didaki kerana dikawal oleh Angkatan Tentera Sri Lanka. Ketinggian gunung ini adalah 2524 mdpl dan puncaknya merupakan kawasan pengkalan system komunikasi pusat angkatan tentera dan peranti komunikasi penting negara Sri Lanka. Kami ke puncaknya dengan menaiki van setelah melaporkan diri di pondok kawalan di kaki gunung.






Titik tertinggi di Sri Lanka
Kemudian kami turun semula ke bandar Nuwara Eliya dan meneruskan perjalanan ke bandar Nallathanni untuk mendaki Adam Peaks. Perjalanan ke Nallathanni mengambil masa sekitar 4 jam. Kami singgah sebentar di perhentian air terjun St Clair Fall. Kami berehat di sini kurang lebih 15 minit dan meneruskan perjalanan sekitar 10 minit. Kami berhenti lagi di Devon Fall. Kami singgah dan minum sebenter di Teh Castle yang terletak di atas bukit berhadapan dengan Devon Fall. Teh Castle dibina dua tingkat dan menaiki tangga berbentuk spiral menuju ke tingkat atas kami melihat Devon Fall lebih jelas.







Kami meneruskan perjalanan menuju bandar Nallathanni dan perjalanan masih melalui ladang teh di kiri dan kanan jalan. Kami melalui jalan yang berbelok-belok dan melalui beberapa buah bandar dan akhirnya kami sampai di bandar Nallathanni awal malam. Kami bermalam di Delhousie iaitu perkampungan kaki Adam Peaks.



Kami sampai di Delhousie awal malam dan setelah "checkin" kami terus berehat dan tidur awal kerana pendakian ke Adam Peaks akan bermula seawal jam 2:00 pagi. Adam Peaks atau Sripada (tapak kaki suci) berdiri di ketinggian 2243 mdpl dan terdapat tapak kaki misteri terpahat di puncaknya. Tapak kaki misteri itu berukuran 1.8 meter dan menjadi versi beberapa pengikut agama seperti Hindu, Buddha, Islam dan Christian. Kami sampai di Puncak Adam sekitar jam 6:00 pagi dan menyaksikan indahnya sinaran matahari terbit pagi itu.




Kami turun semula ke Delhousie sekitar jam 6:40 setelah berehat dan melihat tapak kaki misteri tersebut dan sampai di bawah sekitar jam 10:50 pagi. Kami berehat, membersihkan diri dan kemudian meneruskan perjalanan menuju ke Galle. Perjalanan ke Galle mengambil masa sekitar 4 jam. Dalam perjalanan kami singgah makan di rest house tepi sungai tempat pelancong berkayak dan rafting. Kami sampai di Galle sekitar jam 5:00 petang dan bermalam di "guest house" yang terletak sekitar 10 minit berjalan kaki ke Pantai Unawatuna. Galle bandar tepi laut yang popular dengan activity nelayan dan memancing. Di bandar ini terdapat banyak bangunan colonial peninggalan penjajah. Malam itu kami berjalan kaki di tepi Pantai Unawatuna dan makan malam di sana.


Keesokkan paginya kami melawat "Old town of Galle" yang diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO. Di sini terdapat bangunan colonial kesan peninggalan penjajah. Kami melawat Galle Dutch Fort, Galle Lighthouse, Clock Tower, Meeran Jumma Mosque, Flag Rock dan berbagai bangunan lain.






Meeran Jumma Mosque


Di Flag Rock ini ada activity terjun yang dilakukan oleh individu tempatan dan bayaran tidak tetap. Lagi pandai anda menawar lagi murah. Dia akan terjun dari Flag Rock ini ke dalam laut sebanyak tiga kali di tempat yang berbeza dan pelancong bebas merakam gambarnya.



Bergambar dengan penerjun tempatan


Kemudian kami bersarapan di Roof Top Restaurant yang terletak berhadapan dengan Flag Rock. Restaurant dua tingkat ini menjamukan pemandangan laut dan benting tepi laut di Old Town of Galle ini.





Selesai sarapan kami meneruskan perjalanan ke Bandar Colombo. Sampai di Colombo, pemandu van menunjukkan kami bangunan Parlimen Sri Lanka yang dibina di dalam tasik, Monumen Sri Lanka, Colombo Tower dan deretan bangunan hotel lima bintang yang dalam pembinaan di pinggir pantai Colombo. Kami bermalam di kawasan Fattah di Colombo.



Petang itu setelah 'check in" kami keluar membeli belah di sekitar deretan kedai sari di kawasan Fattah. Kami singgah sebenter di Red Mosque untuk merakam gambar. Kami makan di Restaurant Sweet Tomato yang terkenal di hadapan Masjid Merah ini. Kami membeli sari dan keesokan paginya kami pulang ke Kuala Lumpur.




Dalam perjalanan ke airport yang menariknya kami bersaing dengan kereta buatan Malaysia, Axia. Saya berharap akan datang lagi ke Sri Lanka. Mungkin untuk berehat di Pantai Mirissa dan Uppuveli. Terima kasih Allah.



Itinerary
Day 1- Airport to Sirigiya, Taman Spice & Herba, Kandy, bermalam.
Day 2- Kandy, kilang teh, Nuwara Eliya, Gunung Pedro, St Clair Fall, Devon Fall, Teh Castle, Nallathanni (Delhousie) bermalam.
Day 3- Awal pagi Adam Peaks dan bergerak ke Galle bermalam di Unawatuna.
Day 4- Old Town Galle, Colombo, Fattah, Shopping sari.
Day 5- Balik ke Malaysia.

Nota:
1- Rakyat Malaysia perlu visa untuk ke Sri Lanka (Usd 30/online)
2- Contact transport: wasuda@srilankanexpeditions.com